fbpx
Azam berucap kepada pelajar pada Jaulah Ramadan Komuniti KPM di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini. - FOTO oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Bekerja dari rumah: KPM teliti kemungkinan pelaksanaan PdPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti kemungkinan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kepada murid dan pelajar sekiranya kerajaan menguatkuasakan cadangan bekerja dari rumah (BDR) kepada penjawat awam.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, bagaimanapun, perkara itu akan diperhalusi terlebih dahulu bagi memastikan sebarang keputusan tidak menjejaskan proses pembelajaran murid.

Menurutnya, KPM akan menilai secara menyeluruh rasional pelaksanaan PdPR sebelum sebarang keputusan dibuat di peringkat sekolah.

“Kita akan teliti sekiranya cadangan BDR ini melibatkan sekolah. Sekiranya ada rasional untuk melaksanakan PdPR, kita akan teliti dengan cermat sebelum membuat keputusan.

“Perbincangan lanjut berhubung perkara itu akan diadakan minggu depan bersama Menteri (Fadhlina Sidek), Timbalan Menteri (Wong Kah Woh), Ketua Setiausaha (Datuk Dr. Aminuddin Hassim) dan pengurusan tertinggi KPM,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Jaulah Ramadan Komuniti KPM di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azam memberitahu, pendekatan yang diambil perlu memastikan matlamat kerajaan khususnya daripada segi penjimatan kos operasi dapat dicapai tanpa menjejaskan kualiti pendidikan.

Katanya, KPM sudah mempunyai pengalaman melaksanakan PdPR ketika penularan Covid-19 sebelum ini dan pengalaman tersebut boleh dijadikan panduan bagi menambah baik pelaksanaan sekiranya kaedah itu perlu dilaksanakan semula.

“Segala keputusan yang dibuat nanti perlu mengambil kira kepentingan terbaik murid dan keberkesanan sistem pendidikan negara.

“Sebagai penjawat awam, pihak kementerian akan melaksanakan segala dasar dan keputusan yang diputuskan kerajaan dengan sebaik mungkin,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN