SKUAD Kuala Lumpur City (KL City) menagih sentuhan emas pemain sensasi, Safawi Rasid dalam misi melakar keputusan positif pada aksi derbi Lembah Klang menentang Selangor FC di Stadium KL, Cheras, malam ini.
Sebagai rekod, kedua-dua pasukan akan bertembung dalam perlawanan yang dianggap ‘penentu’ untuk mengesahkan status naib juara Liga Super di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas berkongsi 39 mata ketika saingan berbaki lima perlawanan.
Pengendali skuad Warga Kota, Risto Vidakovic mengakui teruja dengan sumbangan yang dipamerkan oleh pemain pinjaman JDT itu selepas meledak 12 gol dalam 25 penampilan musim ini.
Menurut Vidakovic, Safawi boleh dianggap antara penyerang terbaik pernah dilahirkan dalam kancah Liga Malaysia kerana memiliki naluri penjaring semula jadi yang jarang dimiliki pemain tempatan.
“Safawi adalah seorang penjaring gol. Itu adalah bakat semula jadinya, dia seorang ‘pembunuh’.
“Dia sentiasa memberikan yang terbaik apabila peluang diberikan walaupun kadang kala terlepas peluang menjaringkan gol. Saya tidak pasti berapa jumlah gol yang sudah dijaringkannya, tetapi bagi saya dia antara penjaring terbaik.
“Pasukan sangat beruntung memiliki pemain seperti Safawi kerana kehadirannya turut mewujudkan suasana positif dalam pasukan,” katanya.
Dalam masa sama, pengendali dari Croatia itu mengakui pasukannya kini berada di bawah tekanan menjelang aksi bertemu Gergasi Merah yang dianggap penting dalam menentukan kedudukan kedua liga.
Menurut Vidakovic, KL City perlu memenangi setiap baki perlawanan sehingga penghujung musim sekiranya mahu menamatkan saingan di tangga kedua sekali gus melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan.














