PONTIAN – Tempahan inap desa yang memberangsangkan sempena Aidilfitri sehingga hari raya ke-9 membuatkan rata-rata pemiliknya menarik nafas lega.
Ini kerana keuntungan yang diperoleh akan digunakan untuk menampung kos pengurusan disebabkan sambutan yang suram sepanjang bulan Ramadan.
Pemilik Legasi Sayang Cabin Pool Stay di Kampung Parit Rabu, Pulai Sebatang, Bahtiar Shukor, 58, berkata, premisnya mula menerima kehadiran tetamu pada 19 hingga 29 Mac ini dengan tempahan mula diterima sejak sebulan lalu.
Katanya, Legasi Sayang Cabin Pool Stay dibina dengan konsep kontena dan mempunyai 20 bilik, rumah semi-D tiga bilik, rumah A-Shape dan glamping.
“Kebanyakan tempahan diterima daripada penduduk tempatan dan saudara-mara yang datang untuk menyambut hari raya bersama keluarga termasuk dari Kuala Lumpur, Melaka, Johor Bahru dan lain-lain. Kadar sewa bagi satu malam antara RM170 dan RM450,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, bagi Pengusaha Kangs Homestay di Kampung Puteri Menangis, Ayer Baloi, Md. Salman Daud, 61, inap desa miliknya mula ditempah golongan perantau yang pulang beraya ke daerah ini sejak sebulan lalu.
Katanya, penyewa akan mula memasuki inap desanya yang mampu menempatkan seramai 86 orang pada 19 Mac lalu. Dia mengenakan caj RM250 semalam bagi premis dua bilik dan RM350 bagi tiga bilik selain ruang tamu yang boleh dijadikan tempat tidur tambahan.
“Kebanyakan penyewa datang dari Melaka, Selangor selain Johor. Ada juga penduduk setempat yang tinggal di homestay kerana rumah ibu bapa mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai,” katanya.
Pengurus Teratak Jentayu Homestay dan Campsite, Kampung Rambah, Fadlin Azim Mohd, 42, pula berkata, premisnya penuh ditempah pada 20 hingga 24 Mac ini dengan tawaran pakej serendah RM175 hingga RM1,350 satu malam.
Di Tapah, Perak, sambutan Aidilfitri ibarat lubuk rezeki bagi pengusaha inap desa, Hazwan Azman, 30, kerana premisnya termasuk bilik studionya habis ditempah kira-kira dua hari menjelang raya sehingga hari raya ke-9.
“Kebanyakan penyewa berasal dari Kampar dan Tapah yang pulang ke kampung untuk menyambut raya bersama keluarga. Tinggal di inap desa lebih selesa dan ada pelbagai kemudahan termasuk kolam renang.
“Cuma bezanya Aidilfitri tahun ini, saya penyewa yang mahu menganjurkan hari keluarga, ‘family gathering’ dan sambutan hari jadi,” katanya yang menetapkan caj RM20 hingga RM300 satu malam.
“Ramai yang beralih memilih inap desa sebab mempunyai banyak bilik, terletak berdekatan kedai runcit dan restoran selain kemudahan lain termasuk ruang meletak kenderaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














