Menerima 28 pencalonan anugerah Zee Cine Award 2026, filem pecah panggung Dhurandhar bagaimanapun gagal membawa pulang sebarang trofi.
Situasi itu membuatkan ramai netizen berasa geram dan mengecam anugerah tersebut yang disifatkan tidak masuk akal.
“Majlis anugerah di India satu jenaka. Kita semua tahu anugerah itu sepatutnya dimenangi oleh siapa,” komen netizen.
Netizen turut meluahkan rasa marah apabila pelakon utama Dhurandhar, Ranveer Singh dan bintang antagonis, Akshaye Khanna tidak membawa pulang anugerah bagi kategori pelakon lelaki dan pelakon pembantu terbaik.
Selain Ranveer, pelakon filem Haq iaitu Yami Gautam yang memberikan persembahan hebat dalam filem itu juga tewas di tangan Kriti Sanon.
Pada acara yang berlangsung pada 1 Mac lalu itu, filem percintaan Gen Z, Saiyaara menang besar apabila berjaya menggondol empat anugerah.
Sementara filem Chhaava yang dibintangi Vicky Kaushal, Rashmika Mandanna dan Akshaye Khanna pula dinobatkan sebagai filem terbaik.














