fbpx
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Henti ramal tarikh raya – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan dengan andaian dan ramalan membuta tuli tarikh Hari Raya Aidilfitri yang seolah-olah boleh menimbulkan kejutan kepada umat Islam.

Baginda bertitah, semua pihak agar bersabar dan tidak mudah percaya dengan spekulasi tanpa asas.

Sultan Sharafuddin menegaskan pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri hanya akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 19 Mac ini setelah mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.

“Malaysia mempunyai kaedah penentuan awal bulan Ramadan dan Syawal yang tersendiri melalui kaedah rukyah dan hisab yang dilaksanakan secara teratur, teliti dan berpandukan kepada keputusan pihak berkuasa agama yang berwibawa.

“Kaedah ini telah sekian lama diyakini serta dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan tidak perlu dibandingkan atau dipengaruhi oleh penetapan yang dibuat negara-negara lain,” titahnya dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.

Sultan Sharafuddin turut bertitah Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam penjelasan terbaharu pada 10 Mac lalu bahawa permulaan awal bulan Islam adalah bergantung kepada kenampakan hilal (anak bulan).

Selain itu, data-data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di satu-satu negara dengan setiap negara mempunyai matla’ ru’yah yang berbeza.

“Khutbah Jumaat hari ini turut menyatakan kaedah-kaedah penentuan awal bulan Syawal dan menasihatkan agar semua umat Islam menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepada pihak berautoriti. Baca dan hadamkan kenyataan dibuat Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Khutbah Jumaat berhubung perkara itu,” titahnya.

Justeru, Sultan Sharafuddin menyeru umat Islam agar tidak terlalu memberi tumpuan kepada perbincangan tarikh Hari Raya.

“Ini sehingga melalaikan daripada memanfaatkan 10 malam terakhir Ramadan yang merupakan tempoh yang amat berharga untuk memperbanyak ibadah, doa dan memohon keampunan daripada Allah SWT,” tegas baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN