KUALA LUMPUR – Pelakon Zara Zya menafikan dakwaan bahawa Janna Nick ialah individu dimaksudkan dengan pangkal huruf ‘J’, yang pernah memperlekehkan atau merendahkannya ketika dia baru mula muncul dalam industri hiburan dahulu.
Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 41, berkata, Janna bukan individu berkenaan selain menegaskan hubungan mereka tidak pernah bermasalah.
“Tidak, ‘J’ bukan Janna. Dia pun mula berlakon selepas saya dan lebih baru dalam industri ketika itu.
“Janna seorang pelakon yang bagus, kami tiada masalah dan masih berkawan.
“Individu ‘J’ itu, biarlah yang tahu saja tahu,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada program rakaman Melodi Raya di sini, baru-baru ini.
Dia juga berharap perkongsiannya mengenai pengalaman dipandang rendah pelakon senior menjadi iktibar kepada setiap anak seni lain di luar sana.
“Ketika kejadian tersebut berlaku, ada orang nak bergambar dengan dia, saya pula berada tidak jauh dari situ, duduk di kerusi.
“Selepas bergambar dengan peminat, dia datang dan ketawakan saya sebelum cakap saya tidak popular serta tiada siapa nak mengambil foto bersama.
“Harap perkara tersebut tak berlaku kepada anak seni lain,” ujarnya.
Dia bagaimanapun tidak terasa hati namun nekad berusaha untuk membina nama atas usahanya sendiri sebagai anak seni.
“Ketika itu memang saya rasa pelik. Nak kata sedih pun tidak sebab saya bukan jenis orang yang ambil kisah.
“Tapi dalam hati saya cakap, insya-Allah satu hari nanti orang akan kenal siapa saya. Alhamdulillah, sekarang orang kenal Zara Zya.
“‘J’ itu sudah tidak aktif dalam industri sekarang. Selepas penggambaran tersebut, kami tidak pernah jumpa lagi,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Zara dalam satu hantaran Threads mendedahkan pernah diperlekeh seorang artis wanita dengan pangkal huruf ‘J’.
Perkongsian tersebut meledak sehingga terdapat segelintir membuat andaian dengan memetik nama Janna Nick sebagai individu tersebut. – KOSMO! ONLINE














