KAMI bergerak dari jeti di kunci air Sungai Dulang pada pukul 8 pagi. Keluar sahaja ke sungai ada dua arah yang boleh ditujui, ke sebelah kanan lubuk-lubuk menghala ke Teluk Intan, manakala jika belok ke sebelah kiri akan menuju ke Bagan Datuk.
Seharian kami hanya memancing di sungai utama tanpa memasuki cabang-cabangnya. Kami hanya bersandarkan umpan anak udang sahaja.
Bagai lumrah, asal umpan mula diturunkan, tekong Che Madlah yang menjadi pemula acara dengan tangkapan udang galah pertama.
Maklumlah sebagai seorang tekong, dia semestinya tahu di mana lubuk-lubuk yang udang galah kategori ‘jenggo’ bermastautin.
Selepas kira kira 12 ekor jenggo dinaikkan oleh Che Mad, barulah giliran joran Pak Sahak mendapat henjutan. Untuk permulaan, walaupun tidak berapa besar tapi sepit nya sudah berubah kepada berwarna biru.
Berbanding dengan saya, walau pun dapat double-strike tetapi tangkapan tersebut hanyalah dalam kategori udang galah saiz remaja.

Hasil yang baik
Sementara itu, bot rakan kami satu lagi yang dinaiki oleh Badrol dan Anuar bersama tekong bot berlabuh dalam jarak kira-kira 30 meter dari bot kami juga kelihatan tidak kurang hebat hasil yang diperoleh dengan jenggo sepit biru mereka.
Seperti kelaziman apabila memancing udang galah, bot harus kerap berpindah lubuk untuk mencari hasil terutama jika setiap kali satu-satu lubuk itu telah menjadi senyap.
Kami berpindah di banyak lokasi di sepanjang sungai sehinggalah kami berehat seketika pada waktu tengah hari untuk mengalas perut dan solat.
Sesi pancingan diteruskan sehinggalah hujan mulai turun pada petang itu.
Pukul enam petang kami membongkah sauh untuk pulang ke jeti. Selesai pembahagian udang kepada semua orang, masing-masing memperoleh kira kira 1.7 kilogram hasil udang galah. Satu jumlah yang sudah dikira baik untuk hasil pancingan udang galah seharian.














