ANGGOTA forensik menjalankan siasatan terhadao SUV X70 yang terkena tembakan dalam kejadian di Bukit Kayu Hitam baru-baru ini.

Sindiket ‘hantar’ amaran kepada penguat kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INSIDEN tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 25 Februari lalu membuka mata banyak pihak mengenai tahap risiko sebenar yang dihadapi penguat kuasa di kawasan sempadan negara.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, mangsa, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir yang sedang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 menuju ke masjid untuk menunaikan solat subuh ditembak oleh dua suspek yang menaiki motosikal.

Mangsa terselamat apabila dua das tembakan mengenai pintu kenderaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan kerajaan menyokong keperluan penggunaan senjata api dalam kalangan
pegawai agensi itu

Katanya, perkara itu akan dinilai secara menyeluruh oleh kepimpinan AKPS berdasarkan tahap risiko operasi serta ancaman semasa yang dihadapi oleh anggota di lapangan.

Pakar Kriminologi, Dr. Zalmizy Hussin berkata, insiden tembakan terhadap Komander AKPS itu sebenarnya memberi gambaran jelas tentang risiko
keselamatan yang dihadapi pegawai penguat kuasa di kawasan sempadan.

“Peristiwa ini menunjukkan bahawa tugas menjaga sempadan bukan sekadar memantau keluar masuk negara, tetapi juga berdepan ancaman daripada rangkaian jenayah terancang,” katanya.

Daripada perspektif kriminologi, katanya, serangan seperti itu sering mempunyai fungsi intimidasi.

“Sindiket yang terjejas akibat operasi atau penguatkuasaan kadangkala menggunakan taktik keganasan bagi menakutkan pihak berkuasa.

“Pemilihan sasaran yang berprofil tinggi seperti komander sempadan menunjukkan serangan itu berpotensi bertujuan menghantar mesej kepada
anggota penguat kuasa lain supaya mengurangkan tekanan terhadap aktiviti penyeludupan,” ujarnya.

Katanya, insiden itu juga menunjukkan pegawai penguat kuasa bukan sahaja berisiko ketika bertugas, malah boleh menjadi sasaran di luar waktu operasi rasmi.

“Dalam kes Bukit Kayu Hitam, serangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan peribadi pada awal pagi. Sindiket mungkin memantau pergerakan pegawai tertentu sebelum melancarkan serangan,” jelasnya.

Selain itu, kata beliau, kejadian itu menonjolkan bahawa jenayah di sempadan semakin berani dan agresif.

“Apabila sindiket memperoleh keuntungan besar daripada penyeludupan, mereka mungkin sanggup guna kekerasan untuk melindungi operasi mereka.

Sebab itu, pakar keselamatan melihat insiden ini sebagai petanda tahap risiko terhadap penguat kuasa di barisan hadapan semakin meningkat,” katanya.

Secara kesimpulannya, insiden itu mengingatkan bahawa penguatkuasaan sempadan bukan sekadar tugas pentadbiran, tetapi tugas keselamatan berisiko tinggi.

“Perlindungan kepada anggota perlu diperkukuh melalui peningkatan aset keselamatan, latihan taktikal serta sokongan risikan yang lebih bersepadu,” katanya.

Pada masa sama, koordinasi antara agensi penguat kuasa serta kerjasama dua hala dengan Thailand perlu terus diperkukuh selain meningkatkan penggunaan teknologi pemantauan sempadan seperti dron, kamera pengawasan, sensor gerakan serta sistem pemantauan digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN