MASJID bukan sekadar tempat ibadah, sebaliknya institusi itu menjadi pusat penyatuan masyarakat serta wadah pembangunan ummah.
Peranan institusi itu semakin berkembang termasuk dalam konteks mendekatkan golongan belia dengan aktiviti bersifat membina, sekali gus membentuk generasi muda yang lebih aktif dan berdaya saing.
Seiring usaha kerajaan menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan di masjid dan surau, program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan telah diperkenalkan.
Program itu menyediakan peluang kepada generasi muda untuk mengimarahkan masjid melalui pelbagai aktiviti sepanjang bulan Ramadan bagi membentuk pengalaman yang lebih bermakna dalam kalangan peserta.
Salah seorang peserta, Muhammad Danial Nor Zaidi, 17, berkata, program itu menjadi cara yang lebih bermakna untuk mengisi Ramadan kerana dijalankan di surau sekolahnya di Melaka.
“Saya mengetahui program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan melalui guru. Ini merupakan pengalaman pertama saya menyertai aktiviti seumpamanya.
“Saya terdorong untuk mengisi Ramadan dengan aktiviti bermanfaat yang dapat memperbaiki bacaan serta pemahaman al-Quran, selain mengeratkan silaturahim sesama peserta.
“Hati saya lebih tenang dan rasa dekat dengan Allah SWT apabila dapat menghayati ayat-ayat suci al-Quran dalam suasana penuh berkat.
“Keyakinan saya turut meningkat kerana lebih berani berinteraksi dengan rakan sebaya dan guru pembimbing tadarus,” katanya kepada K-Remaja.
Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan dianjurkan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memperkukuh agenda pembangunan belia secara holistik berteraskan nilai Malaysia Madani.

Inisiatif yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lalu itu merupakan pendekatan baharu untuk mendekatkan golongan belia dengan institusi masjid.
Program itu turut mengiktiraf masjid sebagai sumber pengetahuan, pusat kerohanian dan institusi sosial yang inklusif, selain berperanan menyatukan serta memperkukuhkan keharmonian masyarakat.
Pendekatan itu selaras dengan hasrat Anwar untuk menjadikan masjid sebagai pusat transformasi belia yang lebih dinamik melalui penubuhan Jawatankuasa Belia di peringkat masjid dan surau.
Pelaksanaan inisiatif tersebut digerakkan oleh Jawatankuasa Bersama KBS dan Jakim yang diterajui oleh Jakim dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab menyelaras aktiviti dan program yang bersesuaian bagi memakmurkan masjid, di samping melahirkan insan yang seimbang dari aspek sahsiah, rohani, intelektual dan sosial.
Menurut Muhammad Danial, suasana interaksi antara peserta dan pihak surau sekolah sangat baik serta mesra.
“Pengalaman paling bermakna bagi saya sepanjang Ramadan ini adalah dapat bersama masyarakat setempat mengimarahkan surau melalui tadarus, solat tarawih dan majlis berbuka puasa.
“Ahli jawatankuasa surau juga sentiasa memberi sokongan serta bimbingan kepada kami sepanjang program berlangsung.
“Saya juga ingin memberitahu kepada belia lain supaya jangan takut atau malu untuk mendekati surau dan masjid. Ini kerana masjid memberi peluang untuk belajar, berinteraksi dan meningkatkan keyakinan diri,” katanya.
Secara umumnya, program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan dilaksanakan di setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan 113 daerah di seluruh negara.
Penyertaan di setiap negeri dijangka seramai 400 peserta kecuali di Perlis dan Labuan seramai 300 peserta, sekali gus menjadikan jumlah penyertaan di seluruh negara seramai 5,800 peserta.
Manakala 130 orang peserta dijangka menyertai program Rakan Muda Ramadan di peringkat daerah. Ini menjadikan jumlah penyertaan di peringkat daerah seramai 14,690 orang.

Dalam ucapannya, Anwar memuji usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, dan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari kerana mencari kaedah baharu mendekati generasi muda melalui masjid.
“Kita sedar bahawa masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi turut menjadi pusat penting bagi pembangunan umat. Dalam sirah Nabi Muhammad SAW, masjid dianggap sebagai tunggak yang dibina atas asas ketakwaan.
“Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, malah peluang untuk meningkatkan martabat serta darjat umat melalui penghayatan ilmu dan amal.
“Program seperti Madrasah Ramadan boleh dijadikan kesempatan untuk mencari kaedah baharu mendekatkan generasi muda dengan masjid, mengimarahkan institusi ini, mendalami ilmu dan memperkukuh amalan mereka.
“Kita juga sedar bahawa dalam mengimarahkan masjid terdapat cabaran tertentu. Namun, ia penting supaya masjid terus menjadi pusat aktiviti umat dan membina generasi bertakwa,” katanya.
Objektif utama program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan merangkumi empat teras utama iaitu kepimpinan pelapis, aset negara berimpak, kesejahteraan holistik dan pencegahan gejala sosial.
Kepimpinan pelapis bertujuan melahirkan generasi muda yang mencintai masjid serta menjadi pelapis kepimpinan dan pengimarahan masjid pada masa hadapan.
Aset negara berimpak pula menumpukan kepada pembentukan pimpinan muda berpotensi yang mampu memberi impak positif dan mempengaruhi masyarakat secara konstruktif.
Sementara itu, kesejahteraan holistik menyasarkan untuk mewujudkan komuniti belia yang sejahtera, adaptif serta sihat dari segi fizikal dan mental dalam menghadapi perkembangan teknologi.
Akhir sekali, pencegahan gejala sosial memberi tumpuan kepada pembinaan kepimpinan belia melalui aktiviti berfaedah, pengukuhan ilmu Fardu Ain serta penyediaan platform pembangunan diri yang komprehensif.
Pada masa sama, Dr. Mohammed Taufiq berkata, kerjasama antara KBS dan Jakim membuktikan bahawa pembangunan belia tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian.
“Sebaliknya, usaha tersebut memerlukan penggemblengan kekuatan kementerian, agensi, institusi masjid, pertubuhan belia dan komuniti setempat.
“Melalui pendekatan ini, masjid diangkat sebagai hab pembangunan belia yang inklusif dan progresif.
“Program ini merangkumi 10 Gaya Hidup Rakan Muda sebagai panduan untuk membentuk generasi belia seimbang, sihat, berilmu dan berakhlak.
“KBS berharap menerusi program yang menyentuh elemen kerohanian ini, negara dapat melahirkan generasi progresif dengan perwatakan mulia,” katanya.
















