fbpx
Program iftar mendapat perhatian pelancong luar negara bagi merasai suasana itu.

Ramadan di Malaysia jadi perhatian dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANJANG Ramadan ini, tular banyak video di aplikasi media sosial khususnya Tiktok memaparkan ramai pelancong antarabangsa berkongsi pengalaman menarik menikmati suasana sambutan bulan suci itu di Malaysia.

Video memaparkan kemeriahan Ramadan di negara ini terutamanya suasana di bazar bukan sahaja dihasilkan pelancong Muslim, malah ia turut dikongsikan mereka yang bukan beragama Islam.

Jika dilihat daripada naratif video terbabit, rata-rata daripada mereka begitu teruja dengan kemeriahan Ramadan di Malaysia seperti pengalaman ke bazar dan budaya berbuka di masjid serta taman awam.

Sebagai contoh, video dihasilkan pelancong bernama @jsmineee_ di Tiktok yang berkongsi pengalaman berbuka di Dataran Merdeka berjaya meraih lebih 600,000 tontonan, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan mesra Muslim.

Dalam konteks ini, suasana Ramadan di Malaysia dilihat berupa diangkat sebagai ‘produk pelancongan’ baharu yang berpotensi menarik minat ramai pelancong antarabangsa terutamanya golongan Muslim.

Menurut seorang pempengaruh media sosial, Siti Aminah Shamsudin, Malaysia mempunyai potensi besar memasarkan ‘pengalaman Ramadan’ sebagai produk pelancongan berikutan mempunyai pelbagai pengalaman unik termasuk kemeriahan aneka makanan di bazar-bazar Ramadan.

“Sebenarnya, di Malaysia suasana menyambut Ramadan sangat unik dan meriah. Daripada kepelbagaian makanan di bazar hingga pengalaman berbuka di masjid dan taman, semuanya seronok untuk diterokai.

“Bagi pelancong luar negara, ini mungkin budaya unik yang tidak ada di negara mereka, jadi ia merupakan sesuatu yang sentiasa dinantikan terutamanya ketika Ramadan,” katanya kepada Kosmo!.

Susulan itu, beliau yang dikenali sebagai Bebelen Cik Min berharap agar kerajaan dapat melihat potensi Ramadan sebagai satu produk pelancongan baharu untuk menarik kedatangan lebih ramai pelancong antarabangsa.

“Jadi, saya berpandangan kerajaan mungkin boleh mewujudkan beberapa kempen khas untuk menarik minat pelancong luar seperti ‘Ramadan Experience in Malaysia’.

“Kempen khas itu boleh dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi pelancongan, pihak hotel dan komuniti tempatan.

“Ia bagi memastikan supaya pengalaman Ramadan di Malaysia dapat diperkenalkan secara lebih tersusun, seterusnya menarik lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya.

Ujarnya, antara produk yang boleh dipromosikan kepada pelancong termasuklah aktiviti di bazar selain pengalaman berbuka puasa bersama komuniti tempatan dan lawatan ke masjid ikonik untuk melihat suasana solat sunat tarawih.

“Jika semua aktiviti itu disusun dalam satu pakej, pelancong bukan saja dapat merasai kepelbagaian makanan, malah dapat merasai pengalaman berharga menyambut Ramadan di Malaysia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN