PETALING JAYA – Harga tiket penerbangan berpotensi meningkat bermula esok susulan beberapa syarikat penerbangan utama mengumumkan pelarasan caj bahan api berikutan peningkatan harga minyak global.
Antara syarikat penerbangan yang terlibat ialah Malaysia Airlines, Firefly dan Batik Air yang masing-masing memaklumkan pelaksanaan pelarasan caj tersebut secara berperingkat bermula esok.
Berdasarkan notis dikeluarkan kepada ejen serta rakan perniagaan korporat yang tular di media sosial, Malaysia Airlines memaklumkan pelarasan caj bahan api akan dikenakan kepada semua tiket yang dikeluarkan pada atau selepas tarikh kuat kuasa tersebut.
Bagi fasa pertama yang bermula esok, caj itu akan terpakai kepada semua Point of Sale (pasaran jualan tiket) kecuali Jepun, Korea, Taiwan, Hong Kong dan Filipina.
Fasa kedua pula akan bermula pada 25 Mac depan, membabitkan Jepun, Korea, Taiwan, Hong Kong dan Filipina.
Firefly turut mengumumkan pelarasan serupa dengan fasa pertama bermula esok melibatkan semua pasaran jualan tiket kecuali Filipina, manakala fasa kedua pada 25 Mac depan akan melibatkan negara tersebut juga.
Sementara itu, Batik Air menerusi surat agensi bertarikh semalam, memaklumkan caj bahan api bagi semua laluan domestik dan antarabangsa akan diselaraskan berkuat kuasa esok, kecuali bagi Hong Kong, Korea dan Jepun yang hanya bermula pada 25 Mac depan.
Menurut syarikat penerbangan terbabit, pelarasan itu dibuat bagi membantu mengurangkan impak kenaikan kos bahan api global di samping memastikan perkhidmatan, kebolehpercayaan operasi dan jaringan penerbangan terus dapat dikekalkan.
Notis tersebut turut menjelaskan caj baharu itu hanya akan dikenakan ke atas tiket yang dikeluarkan pada atau selepas tarikh kuat kuasa.
Ia bermakna pengguna yang membuat tempahan baharu selepas tempoh berkenaan berkemungkinan perlu membayar tambang sedikit lebih tinggi bergantung kepada laluan dan syarikat penerbangan.
Sementara itu, Kosmo! masih berusaha mendapatkan pengesahan rasmi daripada syarikat penerbangan terlibat mengenai pelaksanaan pelarasan caj bahan api berkenaan.- KOSMO! ONLINE














