fbpx
Adly ketika menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Kepada ATM di Wisma Pertahanan hari ini.

Warga ATM terima sumbangan raya bernilai RM2.08 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menerima sumbangan kira-kira RM2.086 juta daripada syarikat, badan korporat serta individu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sumbangan tersebut diterima daripada 50 penyumbang merangkumi dana kewangan berjumlah RM1,832,800 serta barangan berjumlah RM254,000.

Jelasnya, sumbangan itu diterima sebagai penghargaaan terhadap warga ATM dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding pada tahun lepas (berjumlah RM2,101,420), namun saya tetap bersyukur kerana program ini masih mendapat sokongan daripada pelbagai pihak yang prihatin terhadap kebajikan warga ATM.

“Penurunan ini seharusnya dilihat sebagai satu ruang dan peluang untuk kita menambahbaik kerjasama dengan lebih banyak rakan strategik pada tahun-tahun mendatang.

“Saya berharap agar pada tahun hadapan, kita akan melihat semula peningkatan dari segi jumlah penyumbang serta sumbangan yang diterima,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan ucapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kepada ATM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi sumbangan tersebut, pihak kementerian akan meneruskan tradisi menyediakan beg bekalan raya ini kepada anggota ATM yang bertugas.

Katanya, dengan penyediaan beg raya dan sumbangan barangan seperti kuih raya, juadah tradisional serta kelengkapan harian, ia sedikit sebanyak dapat mengubati rindu dan menyuntik semangat kepada para perwira kita.

“Sumbangan ini bukan sekadar pemberian material, tetapi ia adalah simbol penghargaan dan pengiktirafan. Ia juga satu manifestasi rasa terima kasih daripada rakyat, badan korporat dan kerajaan.

“Pada masa sama, ia menghantar satu mesej yang jelas bahawa pengorbanan anggota ATM sentiasa dihargai serta rakyat tidak akan lupakan jasa mereka yang bersengkang mata demi keamanan negara,”katanya.

Terdahulu, ATM dalam kenyataan memaklumkan sumbangan yang diterima pada tahun ini membolehkan sebanyak 16,000 Beg Hari Raya Aidilfitri diagihkan kepada anggota yang sedang bertugas di seluruh negara dan di misi luar negara.

Barangan sumbangan telah dikumpulkan bermula Februari lalu dan dibungkus secara berfasa dengan melibatkan tenaga kerja daripada warga ATM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN