PETALING JAYA – Hampir 1,000 pengunjung bazar Ramadan di seluruh negara mendaftar sebagai Wira Internet Selamat menerusi Kempen Internet Selamat@Bazar Ramadan yang berlangsung di 19 lokasi baru-baru ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan program tersebut menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, golongan belia dan peniaga yang mengambil peluang mendapatkan pendedahan mengenai amalan penggunaan Internet secara selamat.
“Sepanjang penganjuran program tersebut, para pengunjung dilihat aktif berinteraksi di reruai kempen dengan mendapatkan maklumat berkaitan keselamatan siber, menyertai sesi penerangan serta mengambil bahan informasi yang disediakan,” jelas MCMC.
Tambah MCMC, sambutan positif itu mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan digital terutama ketika aktiviti dalam talian seperti pembelian dan urusan kewangan semakin rancak sepanjang bulan Ramadan.
Dalam kenyataan sama, MCMC memaklumkan hampir 10,000 kit Ramadan telah diedarkan kepada pengunjung bazar di 19 lokasi seluruh negara yang mengandungi risalah maklumat kempen, satu pek kurma, sebotol air mineral dan butang lencana.
Katanya, kejayaan pelaksanaan program itu turut disokong oleh mobilisasi tenaga kerja MCMC di seluruh negara bersama petugas daripada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Program tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di IWK Ecopark, Pantai Dalam manakala Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menghadiri program di Bazar Ramadan Temenggong, Kulai, Johor.
Sementara itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut mencemar duli dan diberikan penerangan mengenai Kempen Internet Selamat ketika menghadiri program Santuni Bazar Ramadan di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Seksyen 13. – KOSMO! ONLINE














