fbpx
Ahmad Azhar menunjukkan gambar kenangan Allahyarham Ahmad Azreeq Zafreen (gambar kecil) bersama ibunya, Zaleha ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Cari anak 3 hari, akhirnya jumpa tak bernyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Luluh hati seorang bapa apabila anak yang hilang sejak tiga hari lalu ditemukan mati selepas terlibat dalam kemalangan ketika mengikut keluarga bercuti ke Cameron Highlands, Pahang dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15.

Mayat Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, ditemui di dalam semak di tepi jalan di Kampung Batu Jeruk, Besut pada pukul 6.40 kelmarin.

Bapanya, Ahmad Azhar Mohamad Yusof, 59, berkata, arwah mahu menguji keupayaan motosikal yang baru dibeli dua bulan lalu dengan menunggangnya ke Cameron Highlands.

Katanya, mereka bertolak dari rumah di Taman Permint Perdana, Kuala Nerus pada pukul 11.30 malam Khamis lalu.

“Kereta Proton Persona tidak muat kerana saya naik bersama isteri, Zaleha Awang, 47, dan empat anak. Jadi dia kata dia mahu tunggang motosikal ikut kami.

“Pada mulanya dia macam berbelah bahagi sebelum bersetuju untuk uji keupayaan motosikal. Ketika dalam perjalanan, dia gagal dikesan ketika kami berhenti mengisi minyak di Beting Lintang, Besut pada pukul 1.30 pagi,” katanya.

Menurut Ahmad Azhar, mereka patah balik dari Gua Musang, Kelantan untuk mencari anaknya sebelum mayatnya ditemui bersama motosikal dengan bantuan penduduk kampung di dalam semak di tepi jalan dekat Kampung Bukit Jeruk kelmarin.

Tambahnya, dia reda walaupun sangat sedih dengan kejadian itu dan tidak menyangka keengganan anaknya untuk membeli baju raya merupakan petanda kematiannya.

“Allahyarham seorang yang ringan tulang dan bekerja keras sanggup bekerja dua pekerjaan sekaligus untuk mengumpul duit membeli motosikal Yamaha Y15,” katanya.

Katanya, Ahmad Azreeq Zafreen yang bekerja di sebuah restoran stik serta kedai makan milik Ustaz Mad Kecik atau nama sebenarnya Muhammad Abdullah tidak pernah merungut biarpun bekerja siang malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Rozaime Ab. Rahim berkata, siasatan awal percaya motosikal yang ditunggangi Ahmad Azreeq Zafreen hilang kawalan lalu terbabas.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah apabila ramai rakan sekerja Zaleha yang merupakan jururawat di situ tampil memberi sokongan moral dan emosi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN