fbpx
Gambar hiasan

Sistem Padu ada 30.7 juta profil warganegara, pemastautin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) kini mengandungi profil kira-kira 30.7 juta warganegara dan pemastautin tetap hasil pengintegrasian maklumat pentadbiran daripada 204 agensi kerajaan melibatkan 670 set data.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd. Shahar Abdullah berkata, pembangunan repositori data berpusat itu merupakan langkah penting dalam menyediakan pangkalan data nasional yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar.

Menurut beliau, inisiatif tersebut juga menjadi sebahagian daripada usaha memperkasa penggunaan teknologi kerajaan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) diteruskan bagi membantu golongan B40, miskin dan miskin tegar meningkatkan pendapatan secara mampan.

“Sehingga 31 Disember 2025, seramai 6,988 isi rumah telah menyertai IPR dengan 40 peratus peserta menjana pendapatan melebihi RM2,000 sebulan.

“Sebanyak 47 projek IPR-Intan sedang dilaksanakan melibatkan hampir 1,700 peserta, dengan jumlah jualan hasil terkumpul sehingga Januari 2026
dianggarkan RM22 juta dan pendapatan tambahan purata sekitar RM1,850 sebulan,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Wong status terkini Padu, Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dan Pelan Tindakan Bagi Syarikat Pemula atau Startup (KL20)

Mengulas lanjut, Mohd. Shahar berkata, Kementerian Ekonomi sedang mempertimbangkan pelaksanaan projek-projek baharu IPR-Intan dengan sasaran penambahan 600 peserta serta perluasan projek sedia ada di kawasan baharu.

Dalam pada itu, katanya, Pelan Tindakan KL20 diteruskan dengan pemantauan bersama antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Jawatankuasa Pemantauan, Pelaksana dan Penyelarasan KL20.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 5,005 syarikat pemula telah didaftarkan melalui platform ‘MyStartup Single Window’, manakala lebih 54,000 individu menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif di bawah pelan tindakan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN