fbpx
DUA anggota tentera berpangkat koperal diiringi anggota polis selepas selesai proses reman di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.

Dua koperal tentera direman cederakan rakan setugas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Dua anggota tentera direman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan kes mencederakan dua rakan setugas pada Khamis lalu.

Perintah reman terhadap dua anggota berpangkat koperal berusia 25 dan 27 tahun yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Mohd Azlan Basri dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua anggota yang bertugas di sebuah kem di sini tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.20 pagi tadi dengan menaiki trak polis sebelum keluar semula kira-kira sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua anggota daripada Batalion 165 Kor Risik ditahan lewat malam tadi susulan satu laporan polis dibuat oleh seorang anggota tentera kem sama pada pukul 8.05 malam kerana mengalami kecederaan di badan akibat dicederakan.

“Laporan awal mangsa memaklumkan kejadian berlaku pada pukul 10.05 malam di dalam bilik penginapan di kem tersebut pada Khamis lalu,” katanya di sini hari ini.

Kedua-dua mangsa berusia 21 dan 24 tahun dikatakan ditendang dan dipukul menggunakan rotan serta tali di bahagian punggung dan tapak kaki, selain turut ditendang serta diarah melakukan ‘fizikal training’ di koridor kediaman itu sehingga awal pagi.

Kata beliau, berdasarkan laporan yang dibuat mangsa, kejadian itu dikatakan berpunca daripada kedua-dua mereka yang tidak membalas mesej dalam kumpulan.

“Kedua-dua mangsa kemudian mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Abdul Halim dan polis tidak dapat memberi ulasan lanjut kerana kes dalam siasatan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI