JOHOR BAHRU – Sebuah bas ekspres membawa 10 penumpang terbabas sebelum terbalik di tepi jalan di Kampung Sepakat Baru, Batu 11 selepas susur keluar Plaza Tol Skudai, di sini malam ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, bas ekspres berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.20 malam.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Jentera pertama tiba pada pukul 8.29 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kemalangan itu melibatkan seramai 10 mangsa termasuk pemandu bas berkenaan.
“Dua penumpang didapati tersepit di dalam bas dan anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa,” jelasnya.
Tambahnya, seorang lagi mangsa yang turut tersepit berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
“Pemandu bas serta dua mangsa lain mengalami kecederaan namun tidak tersepit, manakala empat mangsa lagi hanya mengalami kecederaan ringan,” ujarnya.
Kesemua mangsa kemudian diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 9.14 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Jelasnya, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru. – KOSMO! ONLINE














