KUALA LUMPUR – Ribuan penunggang motosikal yang menjadikan Jalan Semarak, di sini sebagai lokasi berkumpul dan melakukan pelbagai aksi berbahaya berakhir apabila digempur pihak berkuasa dalam operasi bersepadu, awal pagi ini.
Operasi bermula pukul 8 malam hingga 5 pagi yang dijalankan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPTKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara dua fasa turut melibatkan Jalan Pahang dan Jalan Genting Kelang.
Tinjauan wartawan Kosmo! di lokasi mendapati terdapat kegiatan lumba haram selain aksi berbahaya seperti ‘wheelie’ sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.
Bagaimanapun, keadaan berubah sekelip mata apabila pihak polis mengepung laluan secara penuh sehingga menyebabkan seorang lelaki bertindak meninggalkan motosikal sebelum melarikan diri bagi mengelak ditahan
Timbalan Ketua JSPTKL, Superintendan Suffian Abdullah berkata, sebanyak 2,000 kenderaan termasuk motosikal diperiksa dengan 797 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, manakala 80 motosikal disita untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, rata-rata penunggang motosikal yang diperiksa berusia dalam lingkungan 15 hingga 21 tahun.
“Kita juga menahan seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Suffian berkata, pihaknya akan melakukan semakan bagi mengesan seorang lagi penunggang motosikal yang melarikan diri dan kes disiasat di bawah Seksyen 26 Akta Polis 1967 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Mengulas lanjut, katanya, ketiga-tiga lokasi tersebut dikenal pasti sebagai kawasan panas atau ‘hotspot’ bagi penunggang motosikal berkumpul.
“Kawasan ini sering kita dapat aduan daripada orang ramai ekoran gangguan dan bunyi bising kerana berhampiran Institut Jantung Negara (IJN).
“Jadi, kawasan ini perlu kita beri keutamaan sebab ia bukan sahaja menjurus kepada gangguan dan ketenteraman awam, malah kepada pesakit-pesakit di hospital,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














