NEWCASTLE – Newcastle United dijangka turun dalam keadaan ‘tempang’ menjelang pusingan kelima Piala FA menentang Manchester City di St. James Park awal pagi esok apabila pemain tengah, Sandro Tonali mungkin tidak dapat beraksi.
Keadaan itu gara-gara pemain Itali berkenaan mengalami masalah kecederaan dan belum cergas sepenuhnya selepas membantu The Magpies mencatat kemenangan ke atas Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe bagaimanapun masih meletakkan harapan supaya Tonali pulih dengan kadar segera kerana menganggap pemain tengah itu merupakan penggerak bahagian tengah pasukan itu.
“Saya fikir ia bukan kecederaan serius, hanya kejang otot. Dia berdepan dengan keadaan itu mungkin kerana bermain pada setiap minggu selain sentiasa memberikan aksi 100 peratus apabila diturunkan.
“Pemain-pemain lain juga ada yang sudah sampai ke had masing-masing, jadi kami perlu berhati-hati dan menguruskan mereka dengan bijak. Aksi bertemu City bukanlah satu perlawanan yang mudah,” katanya.
Sementara itu, penjaring gol kemenangan ke atas United, William Osula menyuarakan hasrat untuk terus mengekalkan aksi serupa sekiranya diberikan kepercayaan untuk turun menentang City.
“Sudah tentu saya gembira dapat membantu pasukan menewaskan United dan saya anggap ia sebagai permulaan baharu. Saya sedia untuk terus memberikan impak dalam perlawanan akan datang,” ujarnya. – AGENSI














