HAMPIR lima tahun tanpa lagu baharu, Anuar Zain akhirnya membawa khabar gembira buat pengikut setianya. Penantian panjang tersebut bakal bernoktah apabila pelantun Lelaki Ini itu mengesahkan sudah menemui karya melekat di hatinya.
Pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain itu mengakui proses mencari melodi dan lirik yang benar-benar serasi dengan jiwanya bukan satu tugas mudah terutama dalam evolusi muzik moden hari ini.
Dia kini sedang melakukan persiapan rapi untuk merakamkan dua lagu hasil sentuhan komposer dari negara berbeza.
“Sudah bertahun-tahun saya cakap tengah cari lagu. Kali ini saya sahkan akan merakamkan dua lagu.
“Saya ada berbincang dengan seorang komposer dari Malaysia dan seorang lagi dari Singapura. Setakat ini saya suka kedua-dua lagu.
“Macam biasa, konsep lagu saya mesti mengenai percintaan, kasih sayang dan silaturrahim. Semoga dua karya ini mendapat tempat di hati peminat,” katanya kepada HibGlam.
Menjelaskan keraguannya sebelum ini untuk melancarkan album atau single, pelantun lagu Sedetik Lebih itu mengakui kekuatan hati dan keizinan Tuhan menjadi faktor utama dia kembali ke studio.
“Kadang-kadang saya berfikir sama ada nak buat lagu atau album. Namun, semua ini atas kuasa Allah. Sekiranya Allah kuatkan hati kita, akan jadi.
“Tiba-tiba kali ini saya rasa sangat bersemangat berbanding sebelum ini. Insya-Allah, saya akan teruskan niat yang bertahun-tahun asyik tertangguh.
“Sebelum ini saya selalu inginkan karya-karya seperti yang biasa saya nyanyikan. Nak dijadikan cerita, sekarang tak ramai komposer menulis lagu seperti dahulu,” ujarnya.
Anuar, 56, tidak menafikan cabaran terbesar buat dirinya adalah mencari penulisan lagu yang mempunyai jiwa dan daya penarik seperti karya-karya malar segar dendangannya dahulu. Namun, dia kini lebih terbuka untuk menerima sentuhan kreatif generasi baharu.
“Saya bukan terikat dengan masa lalu, saya tahu peminat setia sukakan lagu sebegitu. Maksud saya lagu yang ada daya tarikan kuat dan melekat di hati. Cara muzik itu dibuat, liriknya ada banyak perbezaan daripada dulu. Jadi mungkin ada sedikit kelainan.
“Saya harap pendengar dapat terima dan kita boleh mendengar lagu-lagu ciptaan komposer muda yang tampil dengan pendekatan lebih segar,” katanya yang ditemui ketika rakaman program Citra Reka Busana 2.0 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Angkat budaya tempatan
Bercakap mengenai Citra Reka Busana 2.0, adik kepada penyanyi Ziana Zain itu berkata, program tersebut bukan sekadar wadah hiburan tetapi satu tanggungjawab sosial dalam memastikan identiti bangsa tidak hanyut ditelan arus kemodenan.
“Seharusnya dari dulu kita mengangkat warisan seni tanah air. Sejujurnya saya risau melihat generasi muda tidak memahami dan mengetahui akar umbi, muzik, budaya, tradisi serta adat resam kita.
“Justeru kita ada amanah besar iaitu membuka mata hati mereka tentang betapa pentingnya menyelami dan menghargai budaya dan tradisi kita agar tidak lenyap di telan zaman.
“Menerusi program ini, kita sebenarnya mengangkat warisan budaya kita. Koleksi busana yang diketengahkan melambangkan kita rakyat Malaysia,” tutupnya.
Citra Reka Busana 2.0 bakal bersiaran pada 1 April menerusi TV2 dan RTMKlik sempena ulang tahun ke-80 RTM.














