BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa menelan kekecewaan apabila perjuangan mereka di All England berakhir seawal pusingan pertama semalam.
Gandingan keempat dunia itu dijangka mudah mara ke pusingan kedua kejohanan berstatus Super 1000 tersebut, namun tumpas mengejut di tangan pasangan bukan pilihan dari Denmark, Rasmus Espersen-Amalie Cecilie Kudsk yang menghuni ranking ke-34 dunia.
Dalam aksi di Utilita Arena, Birmingham itu, Tang Jie-Ee Wei bermula baik apabila memenangi set pertama, namun kedudukan tersebut berubah sebelum tumpas dalam pertarungan tiga set 21-18, 12-21, 23-25 yang memakan masa satu jam dua minit.
Ee Wei mengakui diri sendiri perlu disalahkan sambil menyifatkan kesalahan ketika melakukan servis benar-benar membunuh keyakinan dirinya sepanjang perlawanan.
“Malang sekali kami kalah lagi di pusingan pertama, tetapi kami sudah cuba berjuang berikan yang terbaik. Terlalu banyak kesalahan servis membuatkan saya hilang sedikit keyakinan.
“Kami terlalu kerap melakukan pukulan lambung menyebabkan berada dalam situasi kurang selesa. Saya kecewa dengan servis sendiri, malah pada mata penting juga berlaku kesilapan.
“Kami perlu terima kekalahan dan terus melangkah ke hadapan. Kami perlu bekerja lebih keras. Ada sesuatu untuk dipelajari,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Tang Jie senada dengan EE Wei apabila mengakui strategi lawan serba menjadi, manakala mereka gagal menterjemahkan perancangan kepada kemenangan sehingga turut berlaku salah faham dan masalah komunikasi membabitkan penggiliran posisi di dalam gelanggang.
“Pergerakan kami mungkin terlalu mudah dibaca. Jadi ini adalah pengajaran yang perlu kami ambil daripada perlawanan ini untuk kejohanan akan datang,” katanya.














