PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik rayuannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman di Mahkamah Rayuan di sini.
Perkara itu dimaklumkan peguam Sanjay Mohan yang mewakili Anwar pada pengurusan kes di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Wong Kian Kheong bersama-sama dua lagi hakim Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Latifah Mohd.Tahar.
Berikutan penarikan rayuan itu, peguam Sanjay Mohan yang mewakili Anwar selaku perayu kemudian menawarkan kos sebanyak RM15,000 terhadap bekas pembantu penyelidiknya Muhammed Yusof Rawther yang dinamakan sebagai responden.
Mendengar kos yang ditawarkan itu, peguam Muhammad Rafique Rashid yang mewakili Muhammad Yusof kemudian memohon kos sebanyak RM150,000.
Semasa prosiding, peguam itu menyatakan antara alasan kos sebanyak RM150,000 itu dimohon kerana membabitkan penukaran peguam cara, masa mahkamah selain telah menempuh prosiding di Mahkamah Tinggi serta hujahan bertulis.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, panel tiga hakim secara sebulat suara memerintahkan untuk perayu membayar kos sebanyak RM50,000 yang mana ia perlu diselesaikan sebelum pukul 5 petang pada 6 April.
Anwar membuat rayuan itu selepas Hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain menolak permohonan Anwar apabila mendapati permohonan untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan tidak memenuhi peruntukkan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Anwar memfailkan permohonan untuk merujuk lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman sivil yang difailkan Muhammad Yusoff.
Lapan persoalan undang-undang itu termasuk sama ada, di bawah Artikel 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat menikmati kekebalan terhad daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan salah laku peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.
Menerusi permohonan yang difailkan oleh firma guamannya, Tetuan Zain Megat & Murad, Anwar memohon mahkamah tertinggi negara memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman berkenaan.
Anwar dalam afidavit sokongan menjelaskan permohonan dibuat bukan untuk melengahkan perbicaraan, tetapi bagi memastikan proses kehakiman berjalan adil dan menurut lunas perlembagaan.-KOSMO! ONLINE.














