JAKARTA – Satu majlis pengebumian bertukar kecoh apabila sejumlah wanita menuntut hutang si mati dilangsaikan warisnya sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan, lapor laman berita Detik hari ini.
Kejadian berlaku di Sampang, Pulau Madura.
Ketua Perhubungan Awam Polis Sampang, Asisten Komisioner Eko Puji Waluyo berkata, si mati mempunyai banyak hutang tertunggak, menyebabkan jenazahnya ditahan daripada dibawa ke tanah perkuburan.
“Sehingga keluarga si mati menyatakan kesediaan mereka untuk bertanggungjawab membayar hutangnya, jenazah tidak dibenarkan untuk dikebumikan,” kata Eko.
Selepas berbincang, keluarga si mati akhirnya menyatakan kesediaan mereka untuk menanggung hutangnya supaya proses pengebumian dapat diteruskan.
Sementara itu, dalam video tersebut, salah seorang wanita didengari berkata: “Si mati mempunyai hutang iaitu 25 gram emas, 15 juta rupiah (RM3,496) tunai, dengan anggaran jumlah keseluruhan sebanyak 215 juta rupiah (RM50,100).”
Seorang penduduk lain kemudian berkata: “Maaf, jangan kebumikan sebelum seseorang bertanggungjawab (membayar hutang).” – AGENSI














