SHAH ALAM – Lima termasuk tiga wanita yang terlibat dalam kegiatan tular berkaitan curi kabel Telekom Malaysia (TM) didenda oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Nurul Aleeya Aneesya Abd. Razak, 23; Nur Allysa Natasha Nor Azlan, 22 dan Nur Shasha Nabila Zamani, 28, didenda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayarnya.
Mohammed Arif Sharif, 25 dan Mohamad Ridzwan Zainol Abidin, 26, pula didenda RM250 atau dua bulan penjara.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas semua mengaku bersalah.
Tiga wanita didakwa mencuri kabel milik TM di Seksyen 3 kira-kira pukul 5 pagi, 20 Februari lalu seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda.
Sementara, Mohammed Arif dan Mohamad Ridzwan dituduh bersama-sama telah memiliki alat-alat kegiatan mencuri tanpa alasan munasabah di Seksyen 7, kira-kira pukul 12.08 tengah malam, 1 Mac lalu.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM250 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 28 (i) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Di mahkamah berasingan, Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan tarikh jatuh hukum 28 April terhadap Mohammed Arif dan Mohamad Ridzwan bagi kes mencuri soket dan kabel di rumah peti milik TM, 1 Mac lalu.
Sementara itu, Majistret Ameera Mastura Khamis menetapkan 4 Mei depan dan membenarkan ikat jamin RM5,000 kepada L. Kelemen, 40, dan N. Tharumaraaj, 44, yang mengaku bersalah melupuskan kabel TM di Ipoh, Perak, 26 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari, Muaz Khawarizmi Azfar dan Nurul Akhilah Rosmi.
Pembelaan diwakili Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi, M. Partiben selain Amirah Nashaida daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Kosmo! semalam melaporkan kegiatan licik sindiket curi kabel berselindung di sebalik pakaian pekerja syarikat telekomunikasi akhirnya terbongkar apabila sembilan individu berusia 19 hingga 44 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan pada 23 dan 26 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE














