fbpx
CONTOH karikatur yang dihasilkan menggunakan janaan AI.

Trend karikatur AI undang risiko penipuan digital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TREND kecerdasan buatan (AI), Create a Caricature Using Everything You Know About Me yang kini tular di pelbagai platform media sosial mengundang kebimbangan terhadap keselamatan siber.

Di sebalik kreativiti yang dipamerkan, pakar keselamatan siber memberi amaran bahawa ia berpotensi membuka ruang kepada penipuan digital.

Menerusi trend itu, pengguna memuat naik foto peribadi dan meminta alat AI menghasilkan karikatur atau ilustrasi berdasarkan kehidupan, pekerjaan serta segala yang AI tahu mengenai diri mereka.

Hasilnya, gambaran animasi individu di pejabat, bersama keluarga atau memaparkan profesion masing-masing yang kemudian dikongsi di Instagram, TikTok dan LinkedIn.

Menurut Pengarah Urusan Asia Pasifik Kaspersky, Adrian Hia, fenomena itu muncul ketika rakyat Malaysia dilihat antara pengguna AI paling teruja di dunia.

“Berdasarkan kajian Ipsos AI Monitor 2025, sebanyak 77 peratus rakyat Malaysia menyatakan produk dan perkhidmatan AI membuatkan mereka berasa teruja. Keadaan ini meletakkan Malaysia di tangga ketiga daripada 30 negara yang dikaji dari segi keterujaan terhadap penggunaan AI.

“Keterbukaan tinggi terhadap teknologi baharu ini bagaimanapun menuntut tahap literasi digital dan kesedaran keselamatan yang seiring,” katanya kepada K-Tekno baru-baru ini.

Tambahnya, permintaan menghasilkan karikatur seperti itu bukan sekadar menggunakan penapis visual biasa.

ADRIAN

Sebaliknya bagi mendapatkan imej yang lebih tepat, pengguna lazimnya membenarkan alat AI mengakses maklumat berkaitan profil mereka tanpa sekatan.

Arahan seperti ‘hasilkan karikatur tentang saya dan pekerjaan saya berdasarkan semua yang anda tahu tentang saya’, secara tidak langsung menggalakkan pendedahan data peribadi secara menyeluruh.

“Selain foto rujukan, pengguna sering memasukkan maklumat tambahan seperti nama syarikat, logo korporat, jawatan, bandar tempat tinggal, rutin harian, hobi serta butiran keluarga.

“Setiap maklumat ini merupakan cebisan penting dalam membina profil digital yang terperinci. Apabila imej, teks dan konteks digabungkan, ia mendedahkan tabiat, hubungan sosial, lokasi yang kerap dikunjungi serta tanggungjawab profesional.

“Semua ini boleh dieksploitasi oleh penjenayah siber untuk merangka penipuan yang lebih meyakinkan,” ujarnya.

Katanya lagi, cubaan penipuan yang menyebut nama tempat kerja, jawatan rasmi atau ahli keluarga tertentu kelihatan jauh lebih sahih berbanding e-mel pancingan data (phishing) umum.

Elemen konteks yang tepat mampu meningkatkan kepercayaan mangsa, sekali gus mendorong mereka berkongsi maklumat sensitif atau memindahkan wang tanpa menyedari risiko sebenar.

Dalam era serangan kejuruteraan sosial yang semakin canggih, maklumat kecil boleh membawa implikasi besar.

Lebih membimbangkan, ketika berinteraksi dengan platform AI, pengguna bukan sahaja berkongsi imej akhir di media sosial.

“Bergantung kepada dasar privasi sesuatu perkhidmatan, foto asal, teks arahan, sejarah penggunaan serta data teknikal seperti alamat IP, jenis peranti dan corak interaksi juga mungkin disimpan oleh AI.

“Sebahagian maklumat ini boleh digunakan untuk operasi perkhidmatan, penambahbaikan prestasi atau latihan model AI. Ini bermakna kandungan tersebut tidak semestinya terhapus selepas karikatur dijana, ia mungkin disimpan lebih lama daripada jangkaan pengguna,” tambahnya.

Adrian turut menyifatkan trend tular itu sebagai sesuatu yang kelihatan tidak berbahaya, namun hakikatnya ia umpama taklimat sukarela kepada penjenayah siber.

Menurut beliau, setiap kali pengguna berkongsi butiran diri demi mendapatkan ilustrasi kreatif, mereka sebenarnya menyerahkan ‘pelan tindakan’ untuk serangan siber yang lebih tepat dan sukar dikesan.

Beliau turut menegaskan, di rantau Asia Pasifik, kadar penggunaan AI berkembang pesat tetapi tahap literasi teknikal tidak semestinya bergerak seiring.

“Potret digital yang terhasil boleh menjadi peta berbahaya kepada scammer, menyediakan konteks yang cukup untuk menukar e-mel phishing generik kepada penipuan diperibadikan yang mampu menembusi pertahanan pengguna, walaupun mereka berhati-hati.

“Bagi mengurangkan risiko, pakar mencadangkan agar pengguna mengelakkan memasukkan data seperti nama penuh, jawatan, nama syarikat, alamat atau rutin harian dalam arahan kepada AI.

“Elakkan memuat naik foto yang memaparkan logo, dokumen, kad akses, nombor pendaftaran kenderaan atau latar belakang bangunan yang boleh mendedahkan lokasi,” kongsinya.

Tegasnya lagi, maklumat dan imej kanak-kanak serta butiran keluarga juga tidak wajar dikongsi bagi mengelakkan eksploitasi emosi.

Pengguna turut digalakkan menyemak dasar privasi dan kebenaran platform sebelum menggunakannya, khususnya berkaitan tempoh penyimpanan kandungan serta penggunaan data untuk latihan model.

Selain amalan berhati-hati, perlindungan digital aktif seperti penyelesaian keselamatan komprehensif boleh membantu menapis pautan berbahaya, muat turun mencurigakan dan teknik phishing yang sering dikaitkan dengan trend tular.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN