fbpx
Mohd. Irwan (dua dari kiri) bersama wakil penerima Inisiatif Jangkauan Komuniti: Kampung Kita di bawah Program Kampung Angkat Madani yang diadakan di Kampung Permatang Ara, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Bank Rakyat sumbang lebih RM164,000 untuk komuniti Kampung Permatang Ara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bank Rakyat menyantuni penduduk Kampung Permatang Ara di Permatang Pauh, Pulau Pinang menerusi Inisiatif Jangkauan Komuniti: Kampung Kita di bawah Program Kampung Angkat Madani dengan menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah lebih RM164,000.

Menerusi kenyataan Bank Rakyat, sumbangan tersebut seiring dengan tema Suara Hati sempena bulan Ramadan dan Syawal tahun ini, malah ia mencerminkan suara hati institusi berkenaan yang sentiasa dekat dengan komuniti di luar bandar serta memahami keperluan mereka, khususnya golongan memerlukan.

Katanya, inisiatif ini juga menekankan usaha pembangunan kapasiti, pemerkasaan ekonomi dan kesejahteraan individu serta perniagaan secara inklusif dan berterusan.

“Sumbangan ini merupakan pelaburan sosial bertujuan meningkatkan akses pendidikan, memperkukuh institusi komuniti, membantu golongan sasaran serta memperkasa ekonomi penduduk setempat.

“Pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” menurut Bank Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, pemilihan Kampung Permatang Ara sebagai Kampung Angkat Madani mencerminkan keyakinan Bank Rakyat terhadap potensi komuniti setempat serta kesediaan institusi ini untuk terus bersama masyarakat dalam meningkatkan sosioekonomi secara mampan.

Katanya, penganjuran program tersebut diisi dengan aktiviti gotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa dan bubur lambuk untuk diagihkan kepada komuniti setempat, selain solat tarawih berjemaah dan moreh.

Ia turut dihadiri oleh Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd. Shariff serta Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat.

Antara sumbangan yang disalurkan itu termasuk bantuan kewangan bernilai keseluruhan RM85,000 kepada 17 usahawan program iTEKAD-RAKYATpreneur B40 dari Kampung Permatang Ara, selain bantuan asnaf sebanyak RM30,000 turut diserahkan kepada 150 penerima dan RM7,000 untuk Sudut Bacaan NURI di Sekolah Kebangsaan Kebun Sireh.

Seterusnya, RM15,000 bagi keceriaan ruang mengaji Surau Permatang Ara, RM7,500 kepada 50 pelajar asnaf Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Pasir melalui Yayasan Bank Rakyat, manakala Penang Free School dan Sekolah Kebangsaan Stowell masing-masing menerima sumbangan RM10,000 untuk naik taraf kemudahan sekolah serta keceriaan pusat sumber. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI