BAGHDAD – Beratus-ratus rakyat Iraq cuba menyerang Zon Hijau di Baghdad yang menempatkan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) hari ini, selepas kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
“Percubaan mereka telah digagalkan, tetapi mereka terus mencuba,” kata sumber keselamatan kepada AFP.
Wartawan AFP berkata, penunjuk perasaan, sebahagiannya memegang bendera kumpulan bersenjata pro-Iran, melontar batu ke arah pasukan keselamatan yang membalas dengan gas pemedih mata.
Beberapa kumpulan bersenjata Iraq yang disokong Iran berkata semalam bahawa mereka tidak akan kekal berkecuali, sebaliknya akan mempertahankan Republik Islam itu.
Kumpulan berkuasa, Kataeb Hezbollah berkata, ia akan menyerang pangkalan AS selepas dua pejuangnya terbunuh dalam serangan udara di selatan Iraq.
Awal hari ini, letupan kuat kedengaran berhampiran lapangan terbang Erbil, yang menempatkan tentera gabungan pimpinan AS di wilayah autonomi Kurdistan Iraq, kata seorang wartawan AFP.
Sementara itu, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh semasa protes pro-Iran di konsulat AS di bandar Karachi, Pakistan hari ini, kata jurucakap perkhidmatan penyelamat kepada AFP.
“Kami telah memindahkan sekurang-kurangnya lapan mayat ke hospital awam Karachi, manakala 20 yang lain cedera dalam insiden konsulat itu,” kata jurucakap perkhidmatan penyelamat Yayasan Edhi, Muhammad Amin.
Beratus-ratus penunjuk perasaan pro-Iran cuba menyerbu konsulat susulan serangan AS-Israel ke atas negara itu, kata seorang wartawan AFP.
Sekumpulan orang muda memanjat pintu pagar utama dan mendapat akses ke laluan masuk bangunan konsular serta memecahkan beberapa tingkap.
Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang bersurai, kata wartawan AFP berkenaan.
Sementara itu, ribuan penduduk berfahaman Syiah menyertai demonstrasi jalanan di Kashmir yang ditadbir oleh India hari ini bagi membantah pembunuhan Khamenei.
Penunjuk perasaan yang memegang bendera merah, hitam dan kuning berkumpul di dataran utama di tengah-tengah Srinagar, bandar utama Kashmir India.
Ramai daripada mereka melaungkan slogan anti-Israel dan anti-AS semasa perhimpunan yang penuh emosi tetapi sebahagian besarnya aman itu. – AFP












