ALOR SETAR – Musim bunga tekoma atau dikenali sebagai ‘Sakura Kedah’ yang menghiasi bandar raya ini boleh bertahan sehingga dua bulan, bergantung kepada keadaan cuaca.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, ia kerana pokok tersebut lazimnya berbunga pada penghujung musim kemarau yang menandakan musim hujan akan tiba.
“Bila hujan, bunga tekoma akan mula berguguran sehingga panorama unik seperti sakura Jepun itu tidak lagi dapat dilihat.
“Panorama bunga tekoma berbunga penuh pada keseluruhan pokok sehingga tiada daun pada pokok itu dapat dilihat ketika cuaca sangat panas,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 1,842 pokok tekoma pelbagai jenis ditanam dan diselenggara oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
“Empat jenis pokok tekoma ialah Tabebuia pallida yang berwarna putih, Tabebuia rosea (merah jambu), Tabebuia pentaphylla (ungu) dan Tabebuia argentea (kuning).
“Fenomena tahunan ini biasanya berlaku sekitar Februari hingga Mac dan ia menceriakan landskap bandar dengan warna merah jambu dan putih,” jelasnya.
Menurutnya, MBAS mula menanam pokok berkenaan kira-kira 26 tahun lalu sebagai pokok teduhan di tepi jalan.- KOSMO! ONLINE














