fbpx
DENGAN ikatan persahabatan dan perniagaan seni yang terjalin seperti sebuah 'perkahwinan', hubungan Dewa 19 dan Iman Tang disegarkan kembali dengan agenda konsert Cintaku Tertinggal Di Malaysia menjelang Jun depan.

‘Ini bukan cinta mati tetapi kontrak mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN mudah membina kepercayaan dua negara antara penganjur konsert dengan artis atau penghibur, namun itu yang dibuktikan Icon Entertainment dan kumpulan ulung Indonesia, Dewa 19.

Mereka sekali lagi bersatu menerusi konsert ikonik yang diberi nama Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia yang bakal direalisasikan di Axiata Arena Bukit Jalil pada 6 Jun depan.

Jeda tiga tahun selepas kali terakhir beraksi di Kuala Lumpur, Dewa yang dianggotai Ahmad Dhani, Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe atau Ello, bersama pemain dram Tyo Nugros itu tidak menafikan Malaysia mempunyai tempat istimewa dalam jiwa mereka.

“Dengan Icon, bukan cinta mati tapi kontrak mati. Iman Tang antara yang terawal bawa masuk Dewa 19 ke Malaysia. Sekitar 2004 atau 2005.

“20 tahun lalu, kami pertama kali bertemu dalam satu acara dan terus ‘dinikahkan’ dengan Iman Tang (ketawa),” kata Ahmad Dhani berseloroh.

MENURUT Ahmad Dhani, konsert Dewa 19 kali ini merupakan apresiasi istimewa band itu buat Baladewa dan Baladewi di Malaysia yang menyokong mereka selama ini.

Saudara, tesis popular

Ditanya seperti apa sinergi antara Icon dan Dewa 19 setiap kali ingin mengadakan konsert di Malaysia, jawab Dhani: “Iman merupakan ‘member’ Dewa 19 di Kuala Lumpur.”

“Kalau buat konsert di sana (Malaysia), memang kena ada Iman. Tapi kalau ada penganjur yang tawar bayaran lebih lumayan, kami okey sahaja,” katanya bersahaja sekali gus memecah tawa para wartawan Malaysia-Indonesia di Java Rock Dewa 19 Restography baru-baru ini.

Teruja menanti tanggal 6 Jun, pengasas Icon Entertainment, Iman Tang tidak menolak andai Dewa 19 kembali mengadakan persembahan di Sabah dan Sarawak.

“Dewa akan sentiasa wujud bukan sahaja di Kuala Lumpur. Kita ada rencana untuk buat konsert di Borneo. Sudah 10 tahun sejak kali terakhir di sana.

“Masih mencari tarikh sesuai dan akan diumumkan dari masa ke masa,” ujar Iman.

Ahmad Dhani selaku ketua kumpulan Dewa 19 tidak tahu sama ada jenama band tersohor itu masih diingati peminat, namun yakin masih mampu memberikan yang terbaik buat para peminat di mana sahaja mereka berada.

“Saya secara peribadi, tak tahu sama ada ini satu pembuktian Dewa 19 masih utuh tapi yang pasti kami mahu menghiburkan peminat di Malaysia.

“Ini semua apresiasi buat mereka yang terus menyokong, mungkin juga boleh jadi tesis (penyelidikan) mengapa Dewa 19 begitu terkenal di Malaysia sedangkan kita tak pernah buat promosi yang signifikan seperti di TV untuk menjadi terkenal.

“Kalau ada pelajar yang boleh jadikan tesis pengajian mereka, persoalan itu mungkin boleh dirungkai, mengapa kami menjadi sangat digemari di Malaysia,” ungkap Dhani.

Gitaris Dewa 19, Andra Ramadhan dalam pada itu menambah, Malaysia memiliki banyak memori buat mereka sebagai sebuah kumpulan.

“Malaysia banyak kenangan terutama di Jalan Alor (KL). Dah seperti rumah kedua buat kami. Kalau ke sana (KL) bikin konsert bukan sekejap, boleh sambung (extend) bercuti dengan keluarga,” katanya.

BUKAN hanya di Kuala Lumpur, Iman Tang (tiga dari kanan) tidak menolak kemungkinan Dewa 19 akan beraksi di Sabah dan Sarawak.

Tetap asli, vokalis

Diminta membocorkan sedikit nuansa persembahan pada konsert nanti, Ahmad Dhani berkata, asas bunyi Dewa 19 nanti tetap sama walaupun akan ada perbezaan dari segi permainan orkestra dan sebagainya.

“Kita sudah rakam sebanyak 25 lagu Dewa dengan string (orkestra) tapi asas bunyi dan tempo tetap sama.

“Misalnya lagu Kangen versi lama dengan baharu (nyanyian Virzha) temponya tetap sama iaitu frekuensi 65. Senang cerita, apa-apapun tetap versi asli sama seperti tahun 1990-an,” ulasnya sedikit mendalam.

Ditebak pertanyaan berbahagi ‘baton’ termasuk vokalis dan pemain dram di pentas nanti, Dhani berseloroh, usah diundang Ari Lasso ke pentas.

“Jangan bawa Ari, kerana nanti dia yang banyak menyanyi (ketawa). Itu sudah terjadi sebelum ini, Ello cuma menyanyi sebuah lagu.

Konsert berkenaan bakal menampilkan tiga vokalis utama kumpulan Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Virzha dan Marcello Tahitoe atau Ello, bersama pemain dram mereka Tyo Nugros.

KUMPULAN Padi Reborn bakal menghangatkan pentas konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal di Malaysia sebagai artis jemputan khas.

Lebih istimewa, buat julung kalinya di Malaysia, band Padi Reborn akan turut berkongsi pentas sebagai artis jemputan khas.

“Kita mungkin akan berkolaborasi dengan Padi untuk rakaman muzik. Maknanya lagu Padi nanti, kami yang terbitkan dan begitu juga sebaliknya.

“Ada waktu dan kesempatan, kami boleh debut lagu itu di Malaysia nanti. Dewa menyanyi lagu Padi, Padi nyanyi lagu Dewa,” kongsi Dhani.

Tema pakaian bagi konsert ini cukup santai iaitu peminat digalakkan mengenakan kemeja-T band original sebagai tanda sokongan kepada idola masing-masing.

Tiket konsert berharga RM236 hingga RM488 mula terjual menerusi laman sesawang di https://www.ticket2u.com.my/Dewa19 bermula 27 Februari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN