Kakitangan KWSP bergambar pada Pembentangan Dividen KWSP bagi tahun 2025 di Menara KWSP di Sungai Buloh semalam. – FARIZ RUSADIO

Fungsi KWSP bukan tampung kos sara hidup semata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI BULOH – Pulangan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.15 peratus disifatkan sebagai kekal cemerlang, meskipun ia lebih rendah daripada 6.3 peratus yang diberikan pada tahun sebelumnya.

Kata Profesor Adjung di Pusat Pembangunan Ungku Aziz, Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Muhammed Abdul Khalid, ini disebabkan sebahagian besar iaitu sekitar 60 peratus daripada pelaburan KWSP adalah dalam negara.

Ujarnya, prestasi petunjuk utama Bursa Malaysia, FBM KLCI agak rendah tahun lalu dengan pertumbuhan hanya 2.3 peratus berbanding kenaikan hampir 13 peratus pada 2024.

“Prestasi pasaran luar negara di mana KWSP melabur hampir 40 peratus dana pula meskipun jauh lebih baik, ringgit telah me­nunjukkan pengukuhan ketara sepanjang tahun lalu.

“Apabila ringgit mengukuh, sebanyak 10 peratus tahun lepas, pulangan yang ditukarkan daripada dolar Amerika Syarikat (AS) kepada ringgit akan berkurangan, dengan agak ketara, maka pulangan 6.15 peratus ini amat baik,” katanya ketika ditemui pada sesi Taklimat Dividen semalam.

Berhubung cadangan kema­sukan keseluruhan dividen ke Akaun 3, Dr. Muhammed menyatakan beliau memahami bahawa ia satu saranan yang popular, namun langkah itu bertentangan dengan fungsi KWSP sebagai simpanan untuk persaraan.

“Jadi bagaimana untuk menangani kos sara hidup ini? Itu bukan fungsi KWSP semata mata, ia fungsi kerajaan.

“Kerajaan yang harus memastikan kuasa beli pekerja naik, dan kenaikan gaji setimpal dan kos sara hidup di tangani. Ini bukan fokus KWSP. Isu pokok adalah gaji kita rendah. Gaji harus dinaik­kan,” tegasnya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai beranggapan kadar dividen yang diberikan adalah memadai memandangkan cabaran pasaran semasa.

Jelasnya, pelaburan KWSP dalam dolar AS memberi kesan kepada kadar dividen dan dana simpanan persaraan itu terpaksa menyesuaikan pendapatan bersihnya berikutan penurunan nilai mata wang tersebut.

“Apabila dolar AS menyusut, nilai pelaburan dalam mata wang asing turut menurun, sekali gus memberi kesan kepada dividen yang boleh diagihkan kepada ahli.

“Alhamdulillah, kita me­nerima 6.15 peratus ini dan pres­tasi pelaburan tahun hadapan diharapkan lebih baik,” ujarnya.

Baru-baru ini orang ramai mendesak kerajaan memberikan bahagian dividen ke Akaun 3 lebih banyak berbanding 10 peratus agihan yang sepatutnya daripada keseluruhan 6.15 peratus itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN