PETALING JAYA – Perbuatan seorang pemandu kereta yang kerap menekan brek sehingga menyusahkan pengguna jalan raya lain menerima kecaman ramai.
Melalui rakaman kamera papan pemuka yang dikongsi di aplikasi Thread, kereta tersebut dilihat dipandu perlahan di lorong kiri, namun pemandunya menekan brek sebanyak beberapa kali.
“Manusia yang suka pandu kereta pakai dua kaki. Menyusahkan orang,” tulisnya di ruangan kapsyen pada hantaran video tersebut.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna turut berkongsi pengalaman kerap berdepan pemandu yang melakukan tabiat sama.
“Paling benci jenis yang pandu pakai dua kaki begini, dia tak tahu ke akan menyusahkan orang lain. Kereta automatik bawa sebelah kaki saja, bukannya bawa (pandu) manual nak kena tekan ‘clutch’,” kata Fridey.
“Oh baru faham. Baru-baru ini dalam perjalanan ke tempat kerja, kereta depan sepanjang jalan lampu brek menyala. Serba salah nak laju ke nak perlahan bila ikut dari belakang,” kata Mieyla.
“Janganlah duduk belakang orang begini, bahaya dan sakit jiwa dibuatnya. Selalunya mereka ini jenis rabun tak nampak jalan, asyik nak menekan brek saja,” cadang Perantau Hepi.
“Main telefon pun ya jenis begini suka brek, kalau potong mesti sebelah tangan saja pegang stereng, sebelah lagi pegang telefon dan mata ke bawah,” kata Cikgu Najwa. – KOSMO! ONLINE














