KAJANG – Seorang mekanik maut selepas motosikal jenis Yamaha RX-Z yang ditunggang terbabas di Kilometer (KM) 11.2, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) menghala ke Seremban awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, nahas itu berlaku pada pukul 2.45 pagi dan siasatan awal mendapati mangsa berusia 28 tahun yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Kajang sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang.
“Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua belah kaki mangsa putus dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379 bagi membantu siasatan.
Polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan dan tidak menjadikan jalan raya sebagai lokasi menguji kelajuan atau melakukan aksi berbahaya.
“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 terhadap mereka yang memandu secara melulu dan berbahaya. Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














