LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Arne Slot dilaporkan kesuntukan masa untuk menambat hati pengurusan tertinggi agar menawarkan kontrak baharu buatnya selepas prestasi pasukan tidak menentu dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Meskipun kontrak Slot di Anfield masih berbaki sehingga Jun 2027, sumber dalaman mendedahkan bahawa kedudukan bagi tempoh jangka panjang pengendali dari Belanda itu kini sedang dinilai secara menyeluruh oleh pengurusan tertinggi The Reds.
Pada awal musim, terdapat jangkaan bahawa rundingan kontrak baharu akan dimuktamadkan lebih awal bagi menutup sebarang spekulasi selepas Piala Dunia 2026, tetapi segalanya berbeza sekarang.
Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) yang diberikan kepada Slot adalah untuk memastikan pasukan dapat meraih slot Liga Juara-Juara (UCL) pada musim depan selepas bergelut di kedudukan ke-6 musim ini.
Difahamkan, Pengarah Sukan Liverpool, Richard Hughes sedang mengetuai analisis komprehensif merangkumi pembangunan pasukan secara keseluruhan sebelum membuat keputusan untuk menawarkan kontrak baharu buat Slot.
Sementara itu, tonggak utama The Reds, Cody Gakpo optimis Liverpool mampu menamatkan musim dalam momentum positif dengan syarat perlu meraih tiga mata dalam aksi EPL menentang West Ham di laman sendiri, malam ini.
“Anfield perlu kembali menjadi kubu kebal yang sukar untuk mana-mana pasukan datang dan mencuri mata. Kami perlu bina semula keyakinan itu, supaya lawan tidak lagi datang dengan keberanian yang sama,” katanya. – AGENSI














