fbpx
Seorang pengguna menukar syiling di sebuah bank tempatan yang menyediakan mesin deposit syiling.

Jangan bongkak, ada yang guna syiling untuk hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ORANG Malaysia pandai bertahan hidup. Dalam situasi ekonomi tertentu mereka kreatif menyesuaikan diri. Baru-baru ini penulis terbaca satu artikel berkenaan ramai menyimpan syiling dalam tabung dan balang atau dicampak ke laci selama bertahun-tahun sehingga menimbun.

Ia nampak remeh, tetapi berfungsi sebagai simpanan tanpa sedar, dana kecemasan kecil atau pun disiplin kewangan asas. Namun, timbul pula permasalahan lain jika syiling ini tidak beredar dalam sistem tunai.

Selingan. Nanti ada pula tukang sanggah kata Malaysia menduduki kedudukan kedua tertinggi di dunia dari segi penggunaan pembayaran kod QR antara 61 hingga 66 peratus penggunaannya setiap bulan. Hanya di belakang China.

Apa lagi pentingnya syiling? Ya merekalah terpaling ‘cerdik’.Apabila syiling tidak beredar Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengeluarkan kos untuk mencetak baharu. Ia sekali gus meningkatkan kos logistik selain menurunkan kecekapan sistem tunai.

Dalam usaha memastikan syiling kembali ke sistem perbankan sejak 2014, BNM bekerjasama dengan bank-bank tempatan menyediakan mesin deposit syiling (CoDM).

Suatu kemudahan buat rakyat menukar syiling menjadi tunai yang terus masuk ke akaun.

Maknanya tindakan kecil rakyat bantu sistem kewangan lebih cekap, wang kembali beredar, bekalan fizikal stabil serta kos negara dijimatkan. Jujurnya paling seronok apabila menerima notifikasi wang ratusan ringgit masuk ke akaun.

Sejak dua minggu lalu, penulis pergi ke beberapa buah bank yang menawarkan perkhidmatan CoDM. Terkadang ikut nasib, jika CoDM berfungsi ia menjadi hari paling bahagia.

Ada hari CoDM ini hanya menerima syiling lama. Syiling cetakan baharu berwarna tembaga pula kena reject. Proses ini mengambil masa 15 minit. Sempat penulis berbual dengan sepasang suami isteri ketika sama-sama menunggu giliran deposit syiling ini di sebuah bank di Putrajaya.

Si suami berkata, kehidupannya agak teruji sejak tahun lalu selepas diberhentikan kerja. Setakat minggu lalu dia belum menerima pampasan.

Buat e-hailing, namun kereta pula dilanggar dari belakang, sudah dua minggu di bengkel.

Keluhnya lagi, panjang pula prosedur insurans dan baik pulih. Satu-satunya kenderaan adalah skuter. Itulah yang digunakan ketika ini. Isteri pula suri rumah sepenuh masa. Anak seorang di tingkatan satu, dua lagi di sekolah rendah.

Bermula Ramadan si suami membantu rakan berniaga di bazar. Rutin harian mereka, si isteri teman suami ke bazar sebelum pulang uruskan anak di rumah. Sesudah berbuka datang kembali ambil suami yang selesai berniaga.

Bagi keluarga berpendapatan tidak tetap seperti ini RM30 hingga RM100 hasil tukaran syiling boleh jadi duit petrol seminggu, tampung beras, susu anak serta top up telefon.

Sekurang-kurangnya mereka masih berusaha dengan tulang empat kerat, hidup bermaruah tanpa perlu meminjam.

Realitinya, jika sampai perlu pecahkan tabung untuk beli barang asas, itu petanda tekanan kos sara hidup masih tinggi.

Syiling sepatutnya lebihan kecil dan bukan talian hayat utama. Orang seperti ini penulis setuju jika 100 peratus dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dimasukkan ke dalam Akaun 3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN