MARANG – Perikatan Nasional (PN) tidak mahu gopoh untuk menamakan Ketua Pembangkang baharu sebagai alternatif kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, setakat ini, Hamzah kekal Ketua Pembangkang sehingga berakhirnya persidangan Parlimen kali ini yang masih berbaki dua hari.
Beliau berkata, keputusan kedudukan Ketua Pembangkang akan dibincang bersama kepimpinan PN dengan mengambil kira perhitungan politik semasa termasuk hala tuju Hamzah dan 18 ahli parlimen lain yang dikatakan menyokong bekas Timbalan Presiden Bersatu tersebut.
“Saya tidak buat keputusan sendiri (pemilihan Ketua Pembangkang). Kena mesyuarat dengan pimpinan parti (PN), tanya ahli-ahli parlimen.
“(Persidangan) Parlimen tinggal dua hari lagi. Selesaikan masalah rakyat dulu, (keputusan kedudukan) Ketua Pembangkang kita tangguh,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Rusila di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi mengakui telah meminta kepimpinan Bersatu diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin agar memberi peluang kepada Ahli Parlimen Pas untuk menjadi Ketua Pembangkang.
Begitupun Ahli Parlimen Marang tersebut menegaskan kepimpinan Pas tidak akan bersikap diktator dalam pemilihan Ketua Pembangkang baharu.
“Memang ada minat (ambil alih Ketua Pembangkang) tetapi mesti ambil kira perhitungan politik,” katanya. – KOSMO! ONLINE














