PETALING JAYA – Amalan berpuasa pada bulan Ramadan bukan sahaja dilaksanakan oleh umat Islam, malah turut diamalkan segelintir masyarakat bukan Islam sebagai tanda hormat, kebersamaan dan latihan disiplin diri.
Kata Pemenang Anugerah Tokoh Siswa Negara 2025, Ng Zhen Fan Shankar, 27, dia mula berpuasa beberapa tahun lalu kerana ingin merasai pengalaman sebenar Ramadan bersama rakan-rakan selain belajar lebih bersyukur dan berdisiplin.
“Pada awalnya badan terasa sedikit letih dan kurang tenaga. Tetapi selepas beberapa hari, badan mula sesuaikan diri dan saya rasa lebih fokus serta terkawal,” katanya.
Shankar berkata, rutin sahurnya ringkas tetapi seimbang, biasanya mengambil nasi atau roti, telur, sedikit buah serta minum air kosong secukupnya bagi memastikan tenaga kekal sepanjang hari.
“Pengalaman setakat ini sangat bermakna dan membuka mata. Ia mengajar saya erti kesabaran, empati, dan menghargai nikmat kecil dalam kehidupan seharian.
“Ketika berbuka, saya paling nantikan air sejuk kerana ia sangat menyegarkan sebelum menikmati makanan panas yang ringan,” ujarnya.
Bagi pelajar separuh masa di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Jeremiah Lucas Jugo David, 25, berkata dia telah berpuasa selama tujuh tahun sejak zaman diploma kerana ingin memahami pengalaman rakan Islam lain.
“Berpuasa bersama sahabat jadikan saya lebih mudah menyesuaikan diri dan pada masa sama eratkan persahabatan kerana kami berkongsi pengalaman sahur dan berbuka,” katanya.
Menurutnya, suasana kebersamaan sepanjang Ramadan menjadikan pengalaman berpuasa lebih bermakna dan penuh kenangan.
Dia akui cabaran utama ialah menahan dahaga ketika cuaca panas dan mengekalkan tenaga ketika menjalani latihan perguruan.
“Walaupun letih, saya perlu kekal profesional dan sabar ketika berhadapan dengan murid. Pengalaman ini melatih kawalan emosi dan disiplin diri,” katanya.
Tambahnya, bersahur membantu mengekalkan tenaga sepanjang hari selain melatih disiplin diri serta pengurusan masa yang lebih baik.
Sementara itu, wakil Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia, Easwaran Vasudavan, 23, berkata dia mempunyai minat terhadap agama Islam sejak sekolah apabila belajar subjek Tasawwur Islam dan hal itu mendorongnya untuk berpuasa.
“Pada awalnya saya ingin memahami pengalaman yang dilalui oleh rakan-rakan Muslim saya, tetapi kini ia menjadi rutin tahunan yang membina ketahanan mental, emosi dan disiplin diri,” katanya.
Katanya, selepas beberapa hari berpuasa badan mula menyesuaikan diri, tenaga menjadi lebih stabil dan dia berasa lebih tenang serta fokus sepanjang hari.
Tambahnya, pengalaman berpuasa juga meningkatkan empati terhadap golongan kurang bernasib baik serta membantu menghargai nilai kesederhanaan dan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
















