BURIRAM – Perlumbaan MotoGP 2026 bakal membuka tirainya secara rasmi bermula hari ini di Grand Prix Thailand dan tumpuan dunia sekali lagi terarah kepada Marc Marquez yang berpeluang melakar sejarah lebih hebat.
Selepas kembali menemui sentuhan berbisa dengan merangkul gelaran dunia 2025 bersama Ducati, bintang Sepanyol itu kini menjadi pilihan utama untuk mempertahankan takhta, sekali gus memadam beberapa rekod ikonik milik legenda seperti Valentino Rossi dan Giacomo Agostini.
Jika dia berjaya menambah satu lagi koleksi mahkota dunia tahun ini, Marquez akan mengumpul 10 gelaran secara keseluruhan, sekali gus memintas Rossi, namun masih berada di belakang dua legenda, Angel Nieto (13 gelaran) serta Giacomo Agostini (15 gelaran).
Ketika ini, Marquez terikat dengan Rossi dengan tujuh gelaran kelas perdana dan hanya memerlukan satu lagi kemenangan musim ini untuk menyamai rekod sepanjang zaman milik Agostini yang memegang lapan gelaran juara dunia kelas perdana.
Selain pemburuan gelaran juara, Marquez juga sedang mengejar statistik kemenangan Grand Prix bagi semua kategori di mana dia kini mengumpul 99 kemenangan secara keseluruhan.
Walaupun rekod 122 kemenangan milik Agostini tampak sukar dicapai dalam tempoh setahun, Marquez sekurang-kurangnya berpeluang besar untuk merapatkan jurang dengan Rossi yang memegang 115 kemenangan Grand Prix.
Bagi statistik kemenangan perlumbaan hari Ahad di kelas perdana sahaja, Marquez kini menduduki tangga kedua dengan 73 kemenangan, namun memiliki peluang besar memintas rekod Rossi yang hanya memiliki kelebihan tiga kemenangan sahaja. – AGENSI














