fbpx
Tangkap layar perbualan Syafiqyus bersama individu terbabit yang dikongsikan di Threads.

Baru nak kongsi RM100, beras 10kg, ayam…sekali ‘dia’ minta RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Niat hati mahu menghulurkan bantuan secara ikhlas, namun lain pula jadinya apabila individu yang ingin dibantu didakwa meminta wang tunai mencecah RM2,000.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, syafiqyus_ yang meluahkan rasa terkejut dengan permintaan diterimanya.

Menurutnya, pada awalnya dia hanya berhasrat untuk berkongsi sedikit rezeki berupa wang tunai RM100 selain barangan keperluan asas seperti beras 10 kilogram dan ayam.

“Niat hati ikhlas nak membantu, tapi terus mintak RM2000. Marilah menyanyi,” tulisnya ringkas dalam hantaran tersebut.

Pengguna itu turut memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp antara dia dan individu terbabit.

“Salam bang ada bantuan sikit tak untuk saya dan suami. Dapat sikit pun jadilah bang. Harap ada rezeki saya, saya follow (ikuti) abang lama dah.

“Maaf bang kalau tak selesa, saya tak cukup nak beli makanan untuk anak-anak, anak-anak teringin makan ayam…saya tak mampu. Pampers (kain pakai buang) anak saya pun habis tak beli lagi. Saya malu dah ni,” kata individu terbabit.

Mendengar kepada kesusahan dihadapi individu berkenaan, Syafiqyus segera menawarkan bantuan yang dirasakan cukup untuk menampung keperluan keluarga terbabit.

Bagaimanapun, individu itu mengambil kesempatan meminta wang tunai sebanyak RM2,000 dengan alasan bil api rumahnya sudah tertunggak dan hidup di rumah tanpa bekalan elektrik.

“Tak apa, abang bagi duit sahaja. Ayam saya beli sendiri. Saya janji saya bayar,” katanya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-rata menyifatkan situasi berkenaan sebagai tidak munasabah dan mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain.

“Kalau orang dah nak tolong tu kira syukur. Jangan pula minta lebih-lebih,” komen Nani.

“Kerja mudah. Cuba nasib test, untung batu timbul, untung sabut tengelam. Minta RM2,000 macam minta RM2,” perli Muhammad Ghazali.

“Saya pernah kene begini, nanti lepas seminggu dia minta lagi. Tak perlu dilayan la,” pesan Hussain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN