fbpx
TAEKWONDO antara sandaran terbaik kontinjen negara untuk mengutip banyak emas pada Sukan SEA 2027.

Virtual taekwondo taruhan emas TM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAEKWONDO Malaysia (TM) bercadang memperkenalkan disiplin baharu sukan taekwondo iaitu virtual taekwondo pada temasya Sukan SEA Malaysia 2027, selain mengekalkan dua disiplin sedia ada iaitu kyorugi dan poomsae.

Pengerusi Teknikal TM, R. Dhanaraj berkata, ketika ini sukan taekwondo di Sukan SEA hanya mempertandingkan dua kategori iaitu poomsae dan kyorugi, justeru penambahan satu disiplin baharu mampu memberi kelebihan tambahan kepada kontinjen negara.

Menurutnya, virtual taekwondo menggabungkan elemen seni bela diri dengan teknologi digital menerusi penggunaan sistem penjejakan gerakan dan gamifikasi tanpa sentuhan fizikal atlet.

“Virtual taekwondo menyerupai kyorugi tetapi atlet perlu memakai gajet seperti gogal untuk beraksi. Atlet bertindak sebagai model yang dipaparkan dalam gogal itu.

“Apabila atlet menendang atau menumbuk, figura maya turut meniru pergerakan tersebut. Ia seakan-akan permainan video, tetapi sepenuhnya menggunakan pergerakan fizikal sendiri,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil kelmarin.

Beliau menjelaskan, TM merancang memperkenalkan tiga acara dalam disiplin berkenaan dan yakin sekurang-kurangnya satu atau dua pingat emas mampu diraih sekiranya ia diluluskan.

Keyakinan itu turut disokong kejayaan atlet muda negara, Jayden Teng yang meraih emas pada Kejohanan Taekwondo Antarabangsa di Kemboja, Januari lalu, sekali gus membuktikan potensi Malaysia dalam format baharu tersebut.

“Hasrat ini juga didorong kejayaan atlet kita di Kemboja. Kami sudah berbincang dengan beberapa negara serantau dan kebanyakannya memberi maklum balas positif. Jika dilaksanakan, saya percaya kita akan mendapat sokongan negara-negara Asia lain,” katanya.

Pada edisi Sukan SEA Thailand 2025, Malaysia sekadar membawa pulang satu emas menerusi poomsae berpasukan wanita selain satu perak dan empat gangsa, sekali gus mendorong TM mencari pendekatan baharu menjelang temasya 2027 dijadual berlangsung di Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN