PETALING JAYA – Sebuah persembahan istimewa bagi menyemarakkan genre rock tanah air iaitu konsert Rock Car Park dijadualkan berlangsung pada 9 Mei depan di Rooftop Kompleks Campbell.
Perkara tersebut diumumkan menerusi satu sidang media yang telah diadakan di Kompleks Campbell , Jalan Dang Wangi 9 Februari lalu.
Sidang media berkenaan dianjurkan bagi memperkenalkan penganjuran konsert tersebut, merangkumi konsep acara, perancangan promosi serta hala tuju pelaksanaan program.
Majlis mengumumkan penglibatan beberapa artis rock tempatan seperti May, Sofea, Bloodshed, Wicitra, serta Shasha and The Boys, selain beberapa lagi nama besar yang akan diumumkan secara berperingkat.
Konsert Rock Car Park bakal mengetengahkan persembahan muzik rock dalam suasana urban terbuka, menawarkan pengalaman berbeza berbanding format konsert konvensional.
Penganjuran ini bertujuan menyediakan platform kepada penggiat muzik rock tempatan serta menghimpunkan peminat muzik rock daripada pelbagai generasi.
Selain itu, konsert ini juga dilihat sebagai usaha menyemarakkan semula perkembangan muzik rock tempatan selaras dengan landskap industri hiburan semasa.
Jualan tiket dibuka menerusi platform Ticket2U bermula 12 Februari 2026.
Harga tiket yang ditawarkan adalah seperti berikut iaitu Presale pada harga RM100, Early Bird RM120, harga biasa RM150, manakala pakej eksklusif pula ditawarkan dengan tambahan RM289 yang merangkumi pakej T-shirt dan kasut edisi terhad.
Menurut Pengarah Urusan, Najmi Rahim, penganjuran konsert ini diyakini mampu memberi impak positif kepada industri muzik rock tempatan serta memperkukuhkan kedudukan genre tersebut dalam arus perdana hiburan tanah air.
Sementara itu, Pegawai Eksekutifnya, Khairul Mustaqim Zainal pula menegaskan bahawa konsert ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi satu platform penyatuan komuniti rock yang merentasi generasi dan latar belakang.
“Pihak penganjur memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, kelancaran operasi serta pengalaman penonton bagi memastikan acara berlangsung dengan teratur dan profesional.
“Harap konsert ini membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan serta merancakkan kembali semangat rock dalam kalangan peminat muzik di Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE














