NEW DELHI – Perdana Menteri India, Narendra Modi terbang ke Israel hari ini untuk lawatan dua hari bagi memperkukuh hubungan dengan rakan perdagangan dan pertahanan utamanya itu, yang mencetuskan kritikan dalam negara.
“Kami berkongsi perkongsian strategik yang mantap dan pelbagai rupa,” kata Modi dalam satu kenyataan ketika memberitahu bahawa beliau akan bertemu rakan sejawatnya, Benjamin Netanyahu dan berucap di Knesset, parlimen Israel.
“Hubungan telah diperkukuh dengan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” tambahnya.
New Delhi telah mengembangkan kerjasama dengan Israel secara berterusan merentasi sektor pertahanan, pertanian, teknologi dan keselamatan siber sambil mengimbangi kepentingan diplomatik di Asia Barat.
Modi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Netanyahu bagi membincangkan cara-cara untuk memperkukuh kerjasama serta bertemu Presiden Israel, Isaac Herzog.
Hubungan diplomatik penuh antara New Delhi dengan Tel Aviv terjalin pada tahun 1992 dan semakin erat selepas pemimpin Hindu-nasionalis, Modi, memegang jawatan pada tahun 2014.
Modi melawat Israel sebagai perdana menteri pada tahun 2017, sebelum Netanyahu membuat lawatan timbal balik ke India pada tahun berikutnya.
Kedua-dua pemimpin sayap kanan itu menggelar satu sama lain sebagai ‘rakan’.
Sementara itu, tokoh kanan Parti Kongres, Priyanka Gandhi menyiarkan di media sosial hari ini bahawa beliau berharap Modi akan menyebut tentang pembunuhan ‘beribu-ribu lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah di Gaza’ apabila berucap di parlimen Israel.
India yang merupakan negara paling ramai penduduk di dunia dengan 1.4 bilion populasi, majoritinya beragama Hindu tetapi dianggarkan 220 juta orang beragama Islam. – AFP














