PETALING JAYA – Penyanyi Syasya Rizal mengakui pernah terdetik rasa malu untuk bercerita dia tinggal di rumah flat bersama neneknya suatu ketika dahulu.
Menerusi perkongsian dalam akaun media sosial, Syasya atau nama lengkapnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 25, berkongsi sepotong video dia kembali ke rumah opahnya bersama suami.
“Dulu Syasya pernah malu nak cerita yang Syasya duduk flat dengan Opah. Hari ni Syasya balik semula bawa suami, bawa kenangan, dan bawa rasa bangga jadi anak yang dibesarkan dengan cinta yang sederhana,” tulisnya.
Tambah bekas ahli kumpulan Dolla itu lagi, kepulangannya ke flat yang terletak di tengah bandaraya Kuala Lumpur itu mengimbau 1,001 kenangan ketika dia membesar di situ.
“Sebenarnya Syasya pulang nak ambil baju kurung lama di sini. Tetapi entahlah rasa emosi sedikit. Lama betul Syasya tak jejakkan kaki ke rumah opah.
“Naik ‘lift’ lama yang bunyinya masih sama. Setiap tingkat terasa seperti membawa balik Syasya ke versi yang dulu. Di sinilah Syasya belajar menjadi kuat dan hidup sederhana.
“Waktu opah buka almari lama, bau kain, penyangkut baju, lipatan opah semuanya masih sama,” jelasnya.
Syasya juga sempat berkongsi pesanan opahnya tentang erti sebenar kehidupan sebagai seorang manusia.
“Opah cuma senyum dan pesan perlahan, hidup ini bukan tentang apa yang kita ada, tetapi siapa yang ada waktu kita tiada apa.
“Ayat itu ringkas sahaja. Tetapi entah kenapa rasa berat di hati ini. Kalau Syasya yang dulu berangan nak jadi seseorang, rasa hidup yang tak pernah cukup, tetapi Ramadan ini Syasya baru sedar yang sederhana itulah yang paling ikhlas,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE














