PETALING JAYA – Bank Rakyat meneruskan tradisi edaran bubur lambuk yang memasuki tahun ke-13 penganjurannya pada Ramadan kali ini dengan mengagihkan 7,000 pek bubur lambuk Kampung Baru.
Sebanyak 20 kawah digunakan bagi menyediakan juadah tersebut yang kemudiannya diagihkan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.
Edaran bubur lambuk Kampung Baru itu bermula pukul 12.30 tengah hari di beberapa lokasi tumpuan termasuk perkarangan Menara Kembar Bank Rakyat, Ibu Pejabat Polis Daerah, balai bomba, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) serta masjid sekitar Lembah Klang.
Bank Rakyat dalam kenyataan berkata, program memasak dan mengedar bubur lambuk itu dilaksanakan secara gotong-royong oleh warga kerjanya menerusi inisiatif kesukarelawanan BaktiRakyat.
Bank Rakyat berkata, selari dengan tema ‘Suara Hati’ sempena Ramadan dan Syawal pada tahun ini, inisiatif tersebut dilaksanakan sebagai usaha untuk berkongsi keberkatan dan rezeki bersama komuniti setempat.
“Pada masa yang sama, ia turut bertujuan memperkukuhkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan hubungan silaturahim antara Bank Rakyat dengan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan agar manfaat yang disalurkan dapat dirasai secara menyeluruh,” katanya hari ini.
Menurut Bank Rakyat, pihaknya sentiasa komited untuk memberi kembali kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti kebajikan dan inisiatif tanggungjawab sosial korporat.
“Kami juga percaya bahawa bulan Ramadan adalah waktu yang tepat untuk mengeratkan jalinan ukhuwah dengan masyarakat yang menjadi tunjang kekuatan operasi kami selama ini,” ujarnya.
Program berkenaan turut disertai Ahli Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat serta dihadiri Pengerusinya, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Shahril Mohd. Shariff. – KOSMO! ONLINE














