RAMADAN hadir sebagai madrasah tarbiah, membasuh jiwa, menundukkan nafsu dan mengasah disiplin diri.
Seawal fajar, umat Islam menahan lapar dan dahaga demi menyuburkan takwa namun tatkala azan Maghrib berkumandang, ada tangan tergesa-gesa mencapai rokok, seolah-olah sebulan menahan diri hanya jeda sementara sebelum kembali menghirup asap yang sama.
Persoalannya, di manakah makna pengorbanan andai malam diisi dengan perkara yang merosakkan tubuh dan iman?
Ironinya, sebahagian perokok sekadar ‘berpuasa daripada rokok’ pada siang hari, lalu membalas dendam selepas berbuka.
Puasa menjadi ritual fizikal, bukan transformasi rohani. Nafsu berjaya dikekang beberapa jam, tetapi gagal ditundukkan sepenuhnya.
Dari sudut kesihatan, bahaya rokok bukan lagi rahsia. Statistik penyakit jantung, kanser paru-paru dan masalah pernafasan terus meningkat
saban tahun.
Dari sudut ekonomi pula, wang dibakar bersama puntung rokok. Dalam keadaan kos sara hidup menekan, masih ada sanggup menghabiskan ratusan ringgit sebulan demi asap yang memudaratkan.
Lebih menyedihkan, amalan merokok selepas berbuka memperlihatkan seolah-olah disiplin Ramadan gagal menyerap ke dalam jiwa.
Bukankah puasa mendidik sabar, menahan keinginan serta mengawal hawa nafsu? Jika rokok tidak mampu dilepaskan walau sebulan, apakah erti latihan spiritual itu?
Isu ini menuntut renungan mendalam, ramai sebenarnya ingin berhenti namun alasan ketagihan sering dijadikan perisai.
Menurut penceramah bebas, Ustaz Dr Ahmad Dusuki Abdul Rani, hukum merokok dalam Islam tidak lagi diperselisihkan.
Malah katanya, kelemahan disiplin menjadi punca ramai gagal berubah walaupun berada dalam bulan penuh keberkatan.
“Islam melihat tabiat merokok sebagai perbuatan haram, ia bukan lagi makruh atau harus kerana para ulama sepakat bahawa rokok membawa mudarat besar.
“Harta habis, kesihatan rosak dan bau pula mengganggu. Bagaimana mungkin sesuatu yang memudaratkan begini dianggap ringan bahkan membuka pintu kepada pelbagai penyakit?.
“Ramadan sepatutnya menjadi medan membina takwa dan disiplin. Apabila seseorang berbuka dengan perkara dilarang Allah atau kembali kepada tabiat lama selepas sebulan dididik, itu tanda peluang tarbiah tidak dimanfaatkan,” katanya kepada Kosmo!.
Tambah Dusuki, dari sudut Maqasid Syariah, amalan merokok bercanggah dengan prinsip utama syariah.
“Syariah bertujuan memelihara akal, keturunan dan harta. Rokok merosakkan semua aspek ini dengan menjejaskan kesihatan, membebankan kewangan dan memberi kesan buruk kepada generasi.
“Setiap perkara memudaratkan diharamkan. Maka perubahan mesti bermula dengan kesedaran diri sendiri tidak boleh bergantung kepada nasihat semata-mata,” katanya.















