fbpx
Amyza Aznan (kiri) menyifatkan Ramadan kali ini sebagai paling perit dan menyakitkan sepanjang 50 tahun kehidupannya.

Dugaan ini terlalu berat, sangat menyakitkan – Amyza Adnan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU KELANG – Seperti hilang arah, pelakon Amyza Aznan menyifatkan Ramadan kali ini sebagai paling perit dan menyakitkan sepanjang 50 tahun kehidupannya apabila terpaksa berdepan ujian bertimpa-timpa melibatkan dua anak tersayang.

Ujar Amyza, dugaan tahun ini terasa jauh lebih berat selepas kehilangan anak sulung, Allahyarham Andre Mikhail, selain anak keduanya disahkan menghidap kanser tulang.

“Memang sangat perit. Tahun lalu hanya Andre disahkan kanser. Tahun ini Adrian pula diuji dengan penyakit lain dan dalam masa sama Andre meninggalkan saya.

“Sebagai ibu, dugaan ini terlalu berat. Sangat menyakitkan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelakon drama Trilogi Cinta itu turut mengakui terkilan kerana tidak sempat berada di sisi Andre ketika anaknya menghembuskan nafas terakhir malam tadi.

Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana segala urusan pengebumian berjalan lancar dan dipermudah.

“Alhamdulillah, semua urusan hari ini sangat mudah. Saya anggap ini rezeki Andre. Doa dan sokongan hadir dari pelbagai sudut.

“Tetapi saya ralat kerana tiada di sisi ketika dia pergi. Andre menghembuskan nafas terakhir sewaktu saya pulang ke rumah untuk membersihkan diri.

“Sebaik selesai mandi, saya terima panggilan memaklumkan paras oksigennya menurun. Sudah tentu sebagai ibu, saya mahu berada di situ, namun tidak kesampaian,” ujar ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, hari ini.

Amyza percaya arwah seolah-olah memahami perasaannya sebagai ibu memandangkan hubungan mereka terlalu rapat.

“Mungkin dia tahu saya terlalu bergantung padanya. Kami bersama hampir 24 jam.

“Barangkali dia tidak mahu saya menyaksikan detik itu kerana bimbang saya tidak kuat menerima kenyataan,” jelasnya.

Terdahulu, jenazah Andre selamat dikebumikan pada pukul 10.45 pagi selepas disolatkan di Masjid Al Khairiah Keramat AU3.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.15 malam di Hospital Kuala Lumpur selepas setahun bertarung dengan kanser paru-paru tahap tiga.

Februari tahun lalu, Amyza mendedahkan anak sulungnya disahkan menghidap penyakit tersebut, berita mengejutkan ramai serta mengundang simpati masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN