fbpx
Mulan Jameela yang dulunya terkenal dengan imej erotik berharap kehidupannya akan berakhir dengan husnul khatimah suatu hari nanti.

‘Sedang istiqamah, mudah-mudahan saya husnul khatimah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Kekal menutup aurat dengan sempurna sejak 2018, penyanyi yang dulunya terkenal dengan imej erotik iaitu Mulan Jameela mengakui istiqamah itu bukan suatu perkara yang mudah.

Bagaimanapun, bekas anggota kumpulan Ratu itu bersyukur urusannya menjaga tertib aurat dipermudahkan sehingga ke hari ini sekali gus berharap pengakhiran hidupnya berakhir dengan husnul khatimah.

“Berhijab buat saya semakin berhati-hati dalam melakukan sesuatu (perkara) atau segala hal yang keluar dari bibir.

“Saya masih bersosial dan ramai kawan tapi tetap ada batasannya. Yang penting, saya sekarang dekatkan diri dengan pelajaran agama (mengaji).

“Insya-Allah tujuan saya sama seperti setiap Muslimah lain iaitu untuk istiqamah dan mendapatkan husnul khatimah,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang media konsert Dewa 19: Cintaku Tertinggal di Malaysia di restoran lima bintang, Java Rock Restography di sini baru-baru ini.

Kini memegang banyak jawatan termasuk isteri, ibu dan wakil rakyat, Mulan waktu ditanya sama ada pernah terbit rasa kerinduan terhadap dunia muzik, wanita itu tidak menafikan hal terbabit.

Menurutnya, tujuan hidup kini sudah tidak lagi berkiblatkan hal keduniaan, sebaliknya mencari reda Allah SWT.

“Saya sekarang banyak habis masa di Parlimen. Undangan nyanyian saya tidak terima terlalu banyak walaupun masih saja buat persembahan.

“Tapi kalau tanya kangen (rindu) atau tidak, saya orangnya ‘let it go’ sahaja — tidak terlalu kalau rasa ingin menyanyi, terus ingin menyanyi macam dulu. Banyak tuntutan hidup lain yang membuatkan rasa sentiasa sibuk,” katanya lagi.

Mulan yang cukup dikenali menerusi antem Makhluk Tuhan Paling Sexy kini berkhidmat sebagai ahli politik selepas dilantik untuk penggal kedua sebagai Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) daripada Parti Gerindra, mewakili Jawa Barat sejak 2019.

Susuk kelahiran Garut, West Java itu mempunyai empat anak kandung dari dua pernikahan, iaitu Tiara Savitri dan Muhammad Rafly Aziz — pernikahan dengan Harry Nugraha, serta Safeea Ahmad dan Muhammad Ali (pernikahan dengan Ahmad Dhani). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN