BAITULMUQADDIS – Kira-kira 50,000 jemaah Palestin menunaikan solat Isyak dan tarawih semalam di Masjid Al-Aqsa di bandar bertembok Baitulmuqaddis Timur yang diduduki tentera Israel, lapor laman berita Arab News.
Orang ramai berkumpul walaupun terdapat sekatan jalan oleh tentera Israel dan pemeriksaan identiti ketat di pintu pagar masjid, demikian menurut Gabenor Baitulmuqaddis.
Rakyat Palestin sedang menyambut bulan suci Islam yang bermula Rabu lalu, di tengah-tengah ketegangan semakin memuncak di Tebing Barat termasuk serangan oleh peneroka haram Yahudi dan serbuan serta penangkapan oleh tentera Israel.
Lebih 300 penduduk Baitulmuqaddis baru-baru ini menerima arahan Israel yang melarang kemasukan mereka ke Al-Aqsa semasa Ramadan, lapor agensi berita Wafa.
Tentera Israel meningkatkan kehadirannya di Baitulmuqaddis dan menyekat akses ke masjid melainkan untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun, lelaki melebihi 55 tahun dan wanita melebihi umur 50 tahun.
Sejak Rabu lalu, beribu-ribu rakyat Palestin beratur untuk melalui sekatan jalan tentera, termasuk di Qalandiya dan Baitul Laham dengan harapan untuk menunaikan solat tarawih di masjid Al-Aqsa. – AGENSI














