KEHIDUPAN ibu-ibu yang kurang bernasib baik ini bagai mendapat sinar baharu daripada perusahaan keusahawanan sosial yang cukup bermakna untuk mereka.

K2

Jana pendapatan menerusi kreativiti denim terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERMULA pada tahun 2012, dugaan melanda dirinya apabila dia kehilangan empayar perniagaan berasaskan sistem pesanan ringkas (SMS) yang dibina sejak muda.
Dua tahun kemudian perkahwinannya pula retak berakhir titik noktah. Itulah nasib yang melanda seorang ibu tunggal, Salena Ahmad, 52.

Kehidupannya selepas itu berubah 360 darjah. Tanpa pekerjaan dan sumber pendapatan, ibu kepada dua cahaya mata itu kemudian memutuskan untuk meninggalkan segalanya dan kembali ke kampung halaman di Klang, Selangor.

Hasratnya ingin memulakan hidup baharu, namun dia tidak menyangka kepulangan itu membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

Salena atau lebih mesra disapa Sally menceritakan bahawa, setelah menetap kembali di Klang, dia telah berkenalan dengan ramai ibu tunggal senasib dengannya, malah ada yang jauh kurang bernasib baik berbandingnya.

“Saya menyertai komuniti ibu tunggal Sungai Udang, Klang dan bersama komuniti itu, kami sama-sama mencari jalan untuk menjana pendapatan terutama buat golongan ibu yang kurang bernasib baik. Sehingga pada satu hari, saya dan beberapa ibu tunggal lain menyertai sebuah bengkel pembuatan kraf tangan berasaskan pelbagai sumber.

“Di bengkel itu saya tertarik dengan satu sesi yang mengajar kami menghasilkan kraf tangan menggunakan fabrik denim terpakai. Bermula dari situ tercetus ilham untuk memulakan satu industri buat komuniti ibu tunggal di kampung saya. Maka, lahirlah Suri Lifestyle,” katanya ketika ditemu bual K2 di pejabat Suri Lifestyle di Taman Teluk Gadong, Klang baru-baru ini.

 

PRODUK-produk pakaian dan aksesori seperti beg-beg ini yang dihasilkan oleh Suri Lifestyle tampak begitu eksklusif.

 

Kongsinya lagi, berbekalkan pengalaman dimiliki menerusi perniagaan terdahulu, dia merangka pelan perniagaan dengan melakukan pelbagai penyelidikan terutama tentang fabrik denim. Dia yang tidak tahu apa-apa tentang menjahit memutuskan untuk mendalami pengendalian mesin jahit dengan hanya bergurukan platform penstriman video, YouTube.

Setelah mahir, Salena kemudian mengajak ibu-ibu tunggal dalam komunitinya untuk turut serta bersamanya menjana pendapatan membuat kraf tangan menggunakan denim terpakai. Memulakan operasi pada tahun 2016, dia bersama 10 ibu tunggal mengusahakan produksi kraf tangan yang berpusat di tingkat bawah rumahnya.

Industri yang dibinanya itu bermula tanpa modal besar. Awalnya Salena mengusahakannya secara kecil-kecilan sebelum mendapat bantuan daripada agensi kerajaan seperti Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Yayaysan Inovasi Malaysia dan Hong Leong Bank.

Jelas Salena lagi, Suri Lifestyle menghasilkan pelbagai kraf tangan seperti aneka jenis beg, tas tangan, dompet dan sebagainya menggunakan denim atau jean terpakai yang diperoleh daripada sumbangan orang awam. Suri Lifestyle mula mendapat perhatian ramai selepas hasil kraf mereka ditempah untuk dijadikan buah tangan dalam satu majlis korporat.

“Selepas itu banyak tempahan yang masuk, malah kami juga menghasilkan rangkaian produk untuk dijual di sebuah butik, Tribeca Artisan di pusat beli belah Bangsar Village dan kedai cenderamata Petrosains, Suria KLCC.

“Kami juga mendapat projek daripada pelbagai badan korporat antarabangsa yang mempunyai cawangan di Malaysia. Dengan perniagaan yang kian berkembang, penglibatan ibu-ibu yang kurang bernasib baik juga semakin bertambah dan hasrat penubuhan Suri Lifestyle untuk membantu mereka menjana pendapatan semakin terlaksana,” ujarnya.

 

SALENA (tiga dari kiri) bersama ibu-ibu yang terlibat dalam mengusahakan Suri Lifestyle.

 

Tambah Salena lagi, meskipun pada awalnya dia hanya belajar menjahit sendiri sendiri, 10 ibu tunggal lain pula sudah mempunyai asas menjahit.

Menerusi pencapaian dikecapi, mereka telah ditawarkan skim latihan menjahit dan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 3). Malah, bermula Januari 2019, Suri Lifestyle sudah beroperasi di bengkel sendiri.

Kini Suri lifestyle bukan sahaja menawarkan peluang untuk ibu-ibu kurang bernasib baik menjana pendapatan dengan bekerja secara sepenuh atau separuh masa, tetapi jenama perniagaan keusahawanan sosial itu juga memberikan latihan menjahit kepada mereka.

Salah seorang ibu tunggal yang mula menyertai Suri Lifestyle sejak tahun 2016, Siti Noor Syuhaidah Saleh, 36, memberitahu, Suri Lifestyle telah banyak membantu mengubah hidupnya sejak kehilangan suami semasa mengandung anak keempat.

“Sejak suami meninggal dunia, ekonomi keluarga saya terjejas. Saya pula tidak bekerja, malah sedang sarat mengandung anak keempat. Saya mendapat tahu tentang Suri Lifestye daripada rakan ibu tunggal yang lain. Mulanya saya ingin mencuba tetapi terus tertarik terlibat sama.

“Suri Lifestyle banyak membantu merubah hidup saya. Bukan sahaja saya dapat belajar kemahiran menjahit, malah saya dapat membantu menjana pendapatan keluarga. Bekerja di sini sangat fleksibel, malah saya dapat membahagikan masa bersama keluarga dan kerjaya,” jelasnya wanita berasal dari Kelantan itu.

 

GOLONGAN ibu tunggal ini menggunakan kreativiti untuk menghasilkan tas tangan dan selipar daripada denim.

 

Selain membuka peluang untuk ibu-ibu kurang bernasib baik di komuniti Sungai Udang, Suri Lifestyle turut menerima penyertaan daripada komuniti lain. Seorang ibu tunggal dari Kampung Jawa, Shah Alam, Selangor, Normah Jamaludin, 54, menceritakan, dia tertarik dengan usaha Suri Lifestyle dan memutuskan untuk menyertai mereka secara sepenuh masa pada tahun 2017.

“Saya berpisah dengan suami sejak 16 tahun lalu dan saya sendiri yang menyara keluarga termasuk ibu yang sedang uzur. Sejak kesihatan ibu semakin merosot, saya memutuskan untuk berhenti kerja pada tahun 2015. Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan keadaan kewangan saya.

“Usaha yang dilaksanakan Suri Lifestyle amat membantu golongan ibu tunggal seperti saya, walaupun dari komuniti berbeza, saya tetap berpeluang untuk menyertai Salena dan bekerja dengan mereka untuk menambah sumber pendapatan.

“Malah, saya juga banyak mempelajari perkara baharu dalam selok-belok menjahit kraf tangan,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Usaha murni Suri Lifestyle telah tersebar dan menarik minat ramai pihak dari semasa ke semasa.

 

JENIA denim dipilih mengikut produk yang hendak dihasilkan.

 

Tahun lalu juga, jenama Suri Lifestyle menjadi sebutan dalam Minggu Fesyen Kuala Lumpur menerusi projek kelestarian fesyen.

Menerusi usaha kolaboratif itu, Suri Lifestyle juga telah memperluas jenama mereka bukan sekadar menghasilkan produk kraf tangan, tetapi juga rangkaian fesyen misalnya jaket, kemeja-T, malah selipar daripada fabrik denim terpakai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN