MEMPUNYAI parut masektomi, aktres Angelina Jolie mengakui kesan pembedahan membuang payudara merupakan tanda kasih sayang terhadap anak-anaknya.
Katanya, pemergian ibu tercinta, Marcheline Bertrand akibat kanser ovari pada 2007 merupakan kehilangan besar yang sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Enggan enam permata hatinya merasai kesedihan andai dia mati akibat serangan sel barah, Jolie mengambil keputusan membuang payudara serta ovarinya sekitar 2013.
Ini kerana bersandarkan pemeriksaan pakar, dia berisiko besar mendapat kanser hasil ujian klinikal yang mendapati terdapat mutasi gen diwarisi daripada ibunya.
“Setiap luka memiliki makna kekuatan, juga simbol keputusan berlandaskan cinta. Saya tidak mahu anak-anak mengalami kehilangan seperti saya,” katanya.
Keputusan tersebut pernah menjadi perdebatan umum, namun bekas isteri kepada pelakon Brad Pitt itu nekad kerana baginya dapat menikmati kehidupan panjang dengan anak-anak adalah merupakan satu rahmat besar.














