fbpx
Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR)

Bina Puri lupus 50 peratus kepentingan dalam KLKSE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bina Puri Holdings Bhd (Bina Puri) telah memeterai Perjanjian Jual Beli Saham (SSPA) bersyarat dengan Arena Irama Sdn Bhd untuk cadangan pelupusan keseluruhan 50 peratus kepentingannya dalam KL-Kuala Selangor Expressway Sdn Bhd (KLKSE), yang merupakan pemegang konsesi Lebuhraya LATAR.

Perjanjian tersebut melibatkan jumlah balasan tunai sebanyak RM77 juta, bebas daripada semua bebanan, tertakluk kepada terma dan syarat SSPA tersebut.

KLKSE adalah syarikat bersekutu milik 50 peratus Bina Puri dan ia adalah sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan untuk melaksanakan Projek Lebuhraya LATAR, sebuah projek konsesi yang dianugerahkan oleh Kerajaan Malaysia kepada KLKSE pada 10 November 1997.

Cadangan Pelupusan ini dijangka  menghasilkan keuntungan pro forma sekali
sahaja atas pelupusan kira-kira RM74.9 juta. Kos pelaburan asal oleh Bina Puri
untuk KLKSE adalah sebanyak RM30 juta.

Lebuhraya LATAR adalah Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor E25 di
Selangor. Ia berukuran 33 km lebuh raya dua hala dan membentuk sebahagian
daripada Jalan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR).

Selepas selesainya Cadangan Pelupusan ini, KLKSE tidak lagi menjadi syarikat
bersekutu Bina Puri, dan akan dimiliki 100 peratus oleh Arena Irama.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Bina Puri, Marcus Goh Kee Lun berkata, memandangkan kedudukan liabiliti bersih semasa dan tahap hutangnya yang tinggi, KLKSE mungkin memerlukan tempoh matang yang panjang untuk menjana lebihan pendapatan dan aliran tunai operasi untuk pengagihan kepada para pemegang sahamnya.

“Oleh itu, Cadangan Pelupusan ini merupakan peluang yang tepat pada masanya
bagi Kumpulan Bina Puri untuk merealisasikan keseluruhan nilai pelaburannya
dalam KLKSE, yang membolehkan Kumpulan mencapai anggaran keuntungan
pelupusan kira-kira RM74.9 juta,” katanya dalam kenyataan.

Deloitte Malaysia telah dilantik sebagai penilai perniagaan bebas untuk menilai nilai
pasaran KLKSE.

Anggaran nilai pasaran KLKSE yang dinilai oleh Deloitte Malaysia adalah antara
RM152.6 juta hingga RM221.8 juta (berdasarkan 100 peratus kepentingan ). Tarikh
penilaian yang diguna pakai adalah pada 31 Disember 2025.

Memandangkan jualan saham mewakili 50 peratus kepentingan ekuiti KLKSE, bahagian kadar 50 peratus nilai pasaran yang dinilai adalah antara RM76.3 juta hingga RM110.9 juta.

Bina Puri berhasrat untuk menggunakan sepenuhnya hasil tersebut untuk
pembayaran balik sebahagian kemudahan perdagangan dan kredit pusingan
dengan Alliance Bank Bhd.

Jumlah tertunggak bagi kemudahan ini setakat 30 Januari 2026 adalah sebanyak
RM109.36 juta.

Dengan pembayaran balik sebahagian kemudahan perdagangan dan kredit
pusingan ini, ia akan mengurangkan nisbah penggearan Kumpulan Bina Puri
daripada 1.81 kali (setakat 30 Jun 2024) kepada 0.81 kali.

Dengan andaian purata kadar faedah tahunan efektif kemudahan tersebut adalah
kira-kira 8.5 peratus, pembayaran balik yang dicadangkan itu juga akan menghasilkan penjimatan faedah kira-kira RM6.5 juta setahun.

Berdasarkan penyata kedudukan kewangan beraudit terkini KLKSE setakat 31
Disember 2024, KLKSE mempunyai kerugian terkumpul sebanyak RM234.2 juta,
dengan ekuiti negatif sebanyak RM174.2 juta.

Selain itu, ia mempunyai jumlah liabiliti sebanyak RM1.18 bilion, dengan RM1.13
bilion (atau 95.8%) dalam bentuk pinjaman dan peminjaman. -KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI